malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tindakan Umno tangguh pemilihan tak sah - ROS
Diterbitkan:  Aug 6, 2021 4:08 PM
Dikemaskini: 11:39 PM
ADS

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berkata tindakan Umno menangguhkan pemilihan parti itu tidak sah.

Ketua Pengarah ROS Jasri Kasim berkata keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno tidak sah kerana penggal pemegang jawatan MKT tamat sebelum keputusan itu dibuat.

Jelasnya, ini kerana keputusan menangguhkan pemilihan itu selama 18 bulan adalah berdasarkan minit Mesyuarat MT Umno pada 7 Julai lepas, sedangkan tempoh pemegang jawatan MT bagi penggal 2018/2021 telah tamat pada 30 Jun 2021.

“Justeru, Umno perlu mengemukakan permohonan penangguhan mesyuarat agung atau pemilihan parti dengan mengemukakan cadangan tarikh kepada ROS dalam tempoh terdekat,” katanya seperti dipetik Bernama.

Menurut Jasri lagi, ROS bertanggungjawab untuk memastikan semua aktiviti dan pentadbiran pertubuhan berdaftar dilaksanakan sejajar dengan Perlembagaan Pertubuhan masing-masing yang tidak bercanggah dengan Akta Pertubuhan 1966 atau undang-undang negara.

Pada 29 Jun lepas, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan mengumumkan pemilihan jawatan di semua peringkat parti itu ditangguhkan selama 18 bulan bermula 30 Jun.

Ahmad Maslan berkata keputusan dipersetujui MT Umno selaras Perlembagaan Umno Fasal 10.16 yang memperuntukkan bahawa MT berhak menangguhkan pemilihan di ketiga-tiga peringkat parti tidak lebih 18 bulan dari tarikh pemilihan sepatutnya diadakan.

Pemilihan Umno sepatutnya sampai tempoh untuk diadakan semula memandangkan 30 Jun 2021 adalah genap tiga tahun selepas pemilihan terakhir diadakan.

Ahmad Maslan menjelaskan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mencadangkan mesyuarat dan pemilihan Umno dibuat secara maya.

Namun, menurutnya, KKM dan MKN berkata jika tidak boleh dibuat secara dalam talian, pemilihan perlu ditangguhkan hingga Covid-19 terkawal.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen