KATA MP | Saya sanggup menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekiranya ada sesiapa boleh jelaskan kenapa mereka mengambil langkah-langkah berikut, dan kenapa ia bukan kesilapan amat besar yang terlalu jelas.
1. Mulai Jun 2020 pelawat asing tidak lagi diperlukan menjalani kuarantin di pusat kendalian kerajaan tetapi melakukan kuarantin kendiri di rumah. Kerajaan membuat pusingan U sebulan kemudian tetapi sudah terlambat kerana varian baru berjaya masuk dan mencetuskan kluster Sivagangga pada Julai dan Covid-29 mengganas di negeri-negeri utara.
Inilah sebenarnya punca gelombang ini, bukan sekadar Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang berlangsung dua bulan kemudian.
2. Pada Oktober 2020, kerajaan menetapkan mereka yang baru pulang dari PRN Sabah hanya perlu menjalani kuarantin kendiri selama tiga hari saja. Lalu seminggu kemudian kerajaan membuat pusingan U lagi tetapi sudah terlambat.
3. Kerajaan membenarkan perjalanan rentas negeri dan pelancongan pada Disember 2020 ketika kes baru dicatatkan sebanyak 1,600 sedangkan kerajaan meminta darurat diisytiharkan - untuk kali pertama - sebulan sebelumnya ketika kes baru harian cuma sekitar 500.
Akibat keputusan itu kes naik kepada 2,232 sebulan kemudian. Ini membuka jalan untuk kerajaan meminta darurat sekali lagi pada bulan Jan 2021.
4. Langkah kerajaan tiba-tiba mengurangkan tempoh kuarantin bagi pelawat asing daripada 14 hari kepada tuju hingga 10 hari pada Dis 2020 dibuat ketika seluruh dunia sedang mengetatkan lagi proses kuarantin disebabkan varian baru sedang mengganas.
Paling malangnya ialah langkah ini hanya dibuat pusingan U lima bulan kemudian iaitu pada April 2021.
Ketika itu ia sudah terlambat kerana varian-varian dari UK, Afika Selatan dan India - dikenali sebagai varian Delta - sudah memasuki negara.
5. Perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 separuh masak dengan kilang dan tapak pembinaan merupakan penyumbang terbesar kes baru Covid-19 ketika itu. Semua sektor lain disekat daripada beroperasi kecuali sektor kilang dan tapak pembinaan.
Ini seumpama seseorang yang mengalami patah tangan lalu doktor membalut seluruh tubuhnya, kecuali tangan kanan.
Dan diulangi lagi kesilapan itu pada PKP 3.0, kuncitara (total lockdown), PKP diperketatkan dan Pelan Pemulihan Nasional (PPN). Diumumkan "total" tapi dibenarkan 129,000 syarikat dan 1,100 tapak pembinaan di seluruh negara terus beroperasi.
6. Pada Februari 2021, kerajaan umumkan sekolah dibuka semula pada Mac. Ketika itu kes baru harian adalah lebih tinggi berbanding semasa darurat bermula.
Biarpun kluster-kluster pendidikan semakin banyak setiap hari dan lebih 80,000 murid dijangkit pada April, kerajaan masih meneruskan persekolahan secara bersemuka termasuk di kawasan yang sudah dilaksanakan PKP.
Malah ibu bapa disuruh jangan risau kononnya kerajaan ada cara untuk mengawal kluster pendidikan.
Amaran diberi berkali-kali
Akibatnya, murid yang tidak bergejala dan sukar dikesan positif Covid-19 membawa balik virus berbahaya itu ke rumah masing-masing untuk menjangkiti ahli keluarga.
Ahli keluarga pula menularkan virus kepada komuniti sehinga Covid-19 menjadi sporadik di mana-mana.
7. Kerajaan menunggu sehingga penggunaan kapasiti unit rawatan rapi (ICU) mencecah 103 peratus sebelum mengumumkan kuncitara pada Jun biarpun Ketua Pengarah Kesihatan dan beberapa menteri sudah pun memberi amaran bahawa penggunaan ICU hospital sudah membimbangkan seawal April.
Langkah lembab ini yang menyebabkan sistem hospital tidak mampu bertahan.
Paling menyedihkan ialah langkah-langkah tersebut terlalu jelas merupakan kesilapan besar yang tidak masuk akal ketika ia dilakukan. Mmelainkan memang niatnya ialah untuk membiakkan Covid-19 supaya ada alasan untuk meminta darurat dan darurat itu tidak ditamatkan awal.
Setiap kali langkah-langkah di atas dilaksanakan, saya telah berulang-kali memberi amaran bahawa ia akan membawa situasi parah pada negara tetapi kerajaan tidak mahu dengar.
Ya, pandemik mengancam seluruh dunia tetapi Malaysia tidak jadi antara negara paling corot dalam dunia dari segi Covid-19 dan ekonomi tanpa sebab.
Malaysia tidak menjadi satu-satunya negara dalam dunia yang menunjukkan betapa makin lama kita berkurung, semakin tinggi kes Covid-19 dikesan, biarpun kerajaan sudah diberi kuasa penuh darurat selama tujuh bulan.
Perlu ada orang yang bertanggungjawab atas kesilapan-kesilapan di atas kerana ia terlalu jelas dan tidak masuk akal. Kerosakan serta kehilangan nyawa yang disebabkan oleh langkah itu adalah terlalu besar.
NAJIB RAZAK ialah ahli parlimen Pekan dan bekas perdana menteri. Tulisan ini dipetik dari hantarannya di media sosial.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.