malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Siapakah Vigneswaran yang angkuh langgar titah Agong ini?'
Diterbitkan:  Aug 2, 2021 3:19 PM
Dikemaskini: 7:19 AM
ADS

PKR menganggap kenyataan Presiden MIC, SA Vigneswaran, yang mengulas mengenai isu pembatalan ordinan darurat sebagai angkuh mengetepikan titah Yang di-Pertuan Agong.

Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Md Akin berkata tidak wajar Vigneswaran menganggap perbahasan mengenai ordinan berkenaan sebagai sia-sia.

"Siapakah Vigneswaran ini yang secara angkuh melanggar perintah Yang di-Pertuan Agong?" katanya dalam kenyataan media hari ini.

Shamsul Iskandar yang juga anggota parlimen Hang Tuah Jaya menjelaskan sebelum ini Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah secara jelas menitahkan agar ordinan darurat dibentang dan dibahaskan di parlimen.

"Berani dia (Vigneswaran) menyebut perbahasan ordinan ini sia-sia?" katanya lagi.

Semalam Vigneswaran dilaporkan berkata perbahasan berhubung ordinan darurat di Dewan Rakyat hanya membuang masa kerana peruntukan sidang khas parlimen perlu difokuskan untuk membantu negara pulih daripada pandemik Covid-19.

Menurut bekas Yang Dipertua Dewan Negara itu, sangat tidak perlu bagi ahli-ahli Dewan Rakyat membahaskan ordinan darurat memandangkan ia sudah pun berakhir semalam.

“Ia hanya mensia-siakan masa yang diberikan untuk ahli-ahli Parlimen memulakan langkah dan tindakan ke arah membangunkan kembali negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Hanya ada satu jalan

Menurut Shamsul Iskandar semua pemimpin Perikatan Nasional (PN) wajar menghentikan usaha mereka cuba menegakkan benang yang basah kerana sudah terbukti mereka gagal sebagai kerajaan.

"Cukuplah menegakkan benang yang basah. Kerajaan hari ini jelas telah gagal melawan Covid-19 dan gagal menjunjung perintah Agong dan Raja-Raja Melayu.

"Hanya satu jalan tersedia untuk perdana menteri dan kerajaan hari ini iaitu berundur secara terhormat," katanya.

MIC adalah satu daripada parti yang masih menjadi komponen BN selain MCA dan Umno.

Gambar fail

Umno sudah memutuskan untuk menarik balik sokongan ahli parlimen mereka kepada Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, yang menjadi perdana menteri sekarang.

Bagaimanapun usaha itu setakat ini dilihat sukar kerana tidak ada mana-mana ahli parlimen Umno yang menjadi menteri Muhyiddin mematuhi arahan dibuat majlis tertinggi mereka.

MCA dan MIC pula menyatakan sokongan mereka terhadap kerajaan dan menegaskan sebarang keputusan menarik balik sokongan kepada Muhyiddin perlu dibuat secara konsensus.

Pada 31 Julai lalu ketua penerangan MCA dan MIC mengeluarkan kenyataan bersama untuk menyokong Muhyiddin Yassin dan kabinetnya. Untuk rekod MCA dan MIC juga mempunyai wakil dalam kabinet berkenaan.

Semalam pula Ketua Pemuda MCA Perak secara peribadi menyeru Muhyiddin segera berundur bagi membolehkan orang lain yang lebih layak menjadi ketua bagi membawa negara mengekang penularan Covid-19.

Menurut Daniel Wa Wai How, Pemuda MCA Perak berpendapat presiden Bersatu itu tidak boleh terus membiarkan negara berada dalam keadaan parah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen