malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PM tangguh sidang parlimen Isnin ini kerana 'risiko Covid-19'
Diterbitkan:  Jul 31, 2021 5:45 PM
Dikemaskini: 12:16 PM
ADS

Sidang khas parlimen yang seharusnya disambung Isnin ini ditangguhkan "ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak".

Perkara itu dimaklumkan melalui surat kepada ahli parlimen yang dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin.

"Pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah dimaklumkan oleh Perdana Menteri (Muhyiddin Yassin) bahawa persidangan Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Dewan rakyat pada Isnin, 2 Ogos 2021 ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

"Pemakluman ini dibuat oleh Perdana Menteri selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(3), Peraturan-peratusan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat," kata surat itu yang dilihat Malaysiakini.

Untuk rekod, Peraturan Mesyuarat 11 (3) memberi kuasa kepada Perdana Menteri untuk memanggil Parlimen lebih awal jika ada penangguhan, namun tiada disebutkan mengenai kuasa untuk penangguhan.

Bagaimanapun Peraturan Mesyuarat 11 (2) membenarkan perdana menteri mengubah tarikh yang ditetapkan untuk persidangan parlimen.

Namun, ada ketentuan khas yang disebut sebagai Aturan Mesyuarat 100, yang membolehkan Speaker memutuskan perkara yang tidak dirangkumkan secara jelas dalam peraturan sedia ada.

Surat itu juga menyatakan bahawa penangguhan itu selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan serta penilaian risiko semasa yang telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan.

"Kementerian Kesihatan berpendapat bahawa Parlimen Malaysia merupakan lokaliti berisiko untuk berlakunya penularan jangkitan Covid-19," kata surat itu.

 Sebanyak 11 kes Covid-19 telah dikesan di Parlimen pada hari Khamis.

Namun, pembantu Speaker Dewan Negara Rais Yatim menyatakan bahawa Dewan Negara akan mengeluarkan kenyataan bahawa sejak itu sejak itu terdapat lebih banyak kes yang dikesan.

Penangguhan terbaru ini hadir ketika kerajaan pusat dilihat berselisih dengan pihak Istana Negara berhubung pembatalan ordinan darurat.

Pada hari Khamis, Yang di Pertuan Agong memberi teguran terhadap kerajaan, menuduh menteri undang-undang Takiyuddin Hassan mengelirukan Dewan Rakyat dengan mengatakan bahawa ordinan darurat telah dibatalkan.

Agong bagaimanapun berkata baginda tidak pernah memberi perkenan kepada pembatalan itu dan menyatakan rasa dukacita kerana ia tidak dibentang dan dibahas di parlimen.

Pejabat Perdana Menteri kemudian mendakwa keputusan itu dibuat mengikut Perlembagaan Persekutuan dan menyorot bahawa Agong mesti mengikuti nasihat kabinet.

Presiden PKR Anwar Ibrahim menuduh kerajaan menggunakan Covid-19 sebagai helah untuk menghalang prosiding Parlimen.

Lihat Komen