malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Penasihat undang-undang Umno bebas tuduhan pengubahan wang haram RM15 juta
ADS

Penasihat undang-undang Umno, Mohd Hafarizam Harun dibebaskan daripada pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini membebas dan melepaskan peguam itu daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram.

Peguam Hafarizam, Amin Othman mengesahkan keputusan yang dibuat hakim Suzana Hussin itu.

Ketika prosiding pagi ini, pihak pendakwaan memohon untuk menarik balik tiga pertuduhan pengubahan wang haram yang dikenakan terhadapnya.

Seorang lagi peguamnya, Hasnal Redzuan Merican kemudian memohon agar mahkamah melepas dan membebaskan Hafarizam, memandangkan dia telah membayar kompaun kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Kompaun itu dibuat mengikut Seksyen 92 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amlatfapua).

Hakim kemudian membenarkan permohonan itu.

Menurut ketiga-tiga pertuduhan, Hafarizam didakwa menerima wang tersebut daripada bekas perdana menteri Najib Razak antara April 2014 hingga Februari 2015.

Hafarizam mula-mula didakwa pada 21 Februari 2019. Dia kemudian dilaporkan menghantar surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Surat tersebut merupakan antara cara tertuduh untuk dibebaskan daripada dakwaan jenayah, antaranya sama ada dengan meminta pelepasan atau mengaku bersalah untuk tuduhan yang lebhi ringan.

Dalam kenyataan hari ini, Hafarizam berkata peguam negara setuju untuk menarik balik dakwaan terhadapnya.

"Selama lebih dua tahun, saya telah dibelenggu dengan pertuduhan ini yang telah dipertuduhkan secara terpilih (selectively prosecuted) oleh mantan peguam negara.

"Pada hari ini, saya berterima kasih kepada Peguam Negara Idrus Harun yang telah mempertimbangkan without fear and favour untuk menarik balik pertuduhan terhadap saya.

"Saya juga berterima kasih kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki di atas kerjasama yang diberikan," katanya.

Hafarizam berkata, walaupun pertuduhan mendakwanya menerima wang daripada 1MDB dan SRC International menerusi firma guamannya, dia berkata wang itu bukan untuk faedah dirinya mahupun firma guamannya.

Dia mendakwa, wang yang diterima daripada anak guam yang masuk ke dalam akaun klien (diselenggara oleh firmanya) disimpan dan dikeluarkan kepada pihak ketiga berdasarkan "arahan anak guam atas kapasiti sebagai pemegang amanah".

"Transaksi seperti ini adalah biasa bagi kesemua peguam cara dan ia adalah suatu transaksi yang sah dan tidak salah di sisi undang-undang," katanya lagi.

Menurut pertuduhan pertama, cek AmIslamic Bank Berhad berjumlah RM7.5 juta milik Najib didakwa dimasukkan ke akaun Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM) pada 17 April 2014.

Pertuduhan kedua melibatkan cek AmIslamic Bank Berhad berjumlah RM4 juta milik Najib yang didakwa dimasukkan ke akaun sama pada 12 November 2014.

Pertuduhan ketiga melibatkan cek AmIslamic Bank Berhad berjumlah RM3.5 juta milik Najib yang juga didakwa dimasukkan ke akaun sama antara 22 Januari 2015 hingga 12 Februari 2015.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!