malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Doktor HTAR sertai hartal kena bagi surat tunjuk sebab
Diterbitkan:  Jul 26, 2021 11:49 PM
Dikemaskini: 11:59 PM

Doktor kontrak Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang yang menyertai hartal semalam perlu mengemukakan surat tunjuk sebab.

Pengarah HTAR, Dr Zulkarnain Mohd Rawi dipetik Kosmo! Online berkata, pihaknya akan meminta peserta mogok kerja itu menjelaskan perlakuan mereka.

Zulkarnain juga berkata doktor terikat etika profesional dan tidak sepatutnya membiarkan kerjaya itu dipandang serong oleh orang ramai.

“Doktor ini kena mengorbankan dirinya demi kepentingan pesakit dan bukan mengorbankan pesakit demi diri mereka.

“Jadi doktor ini menolong orang dalam kesusahan tanpa mengambil kira kepentingan diri,” katanya.

Menurut Zulkarnain doktor kontrak terbabit tidak wajar terpengaruh hasutan menyertai hartal semalam.

“Kita bekerja bukan untuk glamor. Kerja doktor ini mulia dan jangan campak profesion kedoktoran sehingga dipandang hina oleh masyarakat.

“Ilmu pengetahuan kedoktoran banyak diperolehi semasa bekerja di sektor awam yang menerima pelbagai kes dan boleh digunakan untuk kemudian hari,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Selangor, Arjunaidi Mohamed (gambar, atas) dipetik Kosmo! Online berkata tiada tangkapan mahupun siasatan dibuat setakat ini terhadap hartal doktor kontrak.

Arjunadi menjelaskan ini kerana polis tidak mengesan perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) sepanjang hartal berlangsung.

Semalam, ratusan doktor kontrak kerajaan di seluruh negara, termasuk di HTAR, mengadakan mogok kerja dengan berhenti melakukan tugasan dan keluar beramai-ramai serentak pada jam 11 pagi.

Gerakan Hartal Doktor Kontrak dalam usaha melobi jaminan pekerjaan dan peluang kerjaya yang lebih baik.

Bawah sistem semasa, doktor kontrak berdepan ketidakpastian setelah tamat lima tahun tempoh khidmat wajib mereka kerana kerajaan tidak mempunyai peruntukan untuk menawarkan mereka jawatan tetap.

Akibatnya, ramai doktor kontrak terpaksa berpindah ke sektor swasta atau meneruskan latihan kepakaran mereka di luar negara.

Selepas berbulan-bulan melobi, kerajaan pada 23 Julai lalu menawarkan untuk melanjutkan kontrak mereka sehingga enam tahun tetapi masih tidak menawarkan jawatan tetap.

Namun, kerajaan berjanji untuk memastikan doktor kontrak juga menikmati faedah serupa dengan doktor tetap.

Hartal Doktor Kontrak menyifatkan tawaran kerajaan itu "separuh masak" menegaskan lanjutan kontrak bukan penyelesaian terhadap tuntutan untuk jawatan tetap.

Pengurusan hospital awam telah memberi amaran kepada doktor kontrak untuk tidak terlibat hartal itu.

Semalam, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Adnan Mat berharap kerajaan tidak mengambil tindakan tatatertib kepada petugas barisan hadapan yang terlibat.

Katanya, ini kerana doktor kontrak berkenaan hanya mahu permasalahan mereka didengari dan diselesaikan oleh kerajaan.

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Lihat Komen