malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Penganjur protes bendera hitam dakwa polis ganggu konvoi
Diterbitkan:  Jul 24, 2021 9:24 PM
Dikemaskini: 3:16 PM
ADS

Siri konvoi protes bendera hitam, yang dilaporkan melibatkan 100 kenderaan di seluruh negara berdepan dengan intimidasi polis di beberapa kawasan, kata penganjur.

Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) mendakwa polis mengganggu konvoi di Quayside Mall, Kuala Langat; Cyberjaya; Manjung, Perak, Pulau Melaka, Bandar hilir, Limbongan dan Batu Berendam di Melaka; dan di Kuching, Sarawak.

SSR juga mengatakan bahawa tiga individu dipercayai ditahan di Temerloh, Pahang.

Bagaimanapun, Ketua Polis Temerloh Mohd Azhar Mohd Yusoff menafikan ada individu yang ditahan kerana konvoi bendera hitam di daerahnya.

Dia juga memberitahu Malaysiakini bahawa dia tidak tahu ada konvoi di kawasan itu.

Malaysiakini sedang berusaha untuk mendapatkan maklumat sama ada ketiga-tiga mereka ditahan di daerah polis yang lain.

Dalam satu kenyataan, SSR mengatakan bahawa peserta konvoi telah mematuhi SOP Covid-19 dengan tidak "berkumpul" atau melebihi had kapasiti kenderaan.

Malaysiakini difahamkan bahawa penganjur telah menasihati peserta konvoi untuk mematuhi peraturan radius 10km yang ditetapkan.

Meskipun demikian, SSR mengatakan beberapa peserta dilarang meneruskan konvoi oleh polis.

"Kami percaya polis tidak mempunyai alasan kukuh untuk menahan kereta yang mengibarkan bendera hitam selain menindas kebebasan bersuara dan berekspresi rakyat.

"Tidak wajar bagi polis untuk menghalang sesiapa sahaja mengibarkan bendera hitam dari kereta mereka (meskipun) mereka tidak mematuhi jarak 10km radius.

"Tindakan seperti itu adalah ancaman, dan kami menganggapnya sebagai arahan dari menteri yang buta terhadap penderitaan rakyat, tetapi terburu-buru untuk membungkam suara rakyat," kata mereka.

Konvoi ini merupakan permulaan kepada protes jalanan #lawan yang dirancang SSR untuk 31 Julai.

Perincian masa dan tempat untuk tunjuk perasaan itu belum didedahkan.

SSR mempunyai tiga tuntutan, yakni agar Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengundurkan diri, agar sesi penuh parlimen diadakan yang bukan hanya "ceramah kerajaan", dan agar moratorium automatik diperluas kepada semua individu.

Malaysiakini difahamkan bahawa kumpulan itu tidak menganggap moratorium pinjaman bank yang diberikan ketika ini sebagai moratorium yang tepat, dengan memetik faedah yang dikenakan sepanjang tempoh penangguhan pinjaman.

Dalam perkembangan terbaru malam ini, aktivis SSR melaporkan bahawa hampir 30 orang yang mengambil bahagian dalam konvoi telah dipanggil untuk disoal siasat oleh polis.

Antara yang dipanggil ialah aktivis SSR Mohammad Abdullah Alshatri, dan pengasas bersama Undi18, Tharma Pillai.

Menurut peguam New Sin Yew usaha sedang dilakukan untuk menyelaraskan khidmat guaman bagi mereka yang telah dipanggil.

Lihat Komen