malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'163 doktor di S’gor berhenti sejak Januari, antara lain kerana hilang minat’
ADS

Seramai 163 pegawai perubatan kontrak yang berkhidmat di Selangor telah meletak jawatan sejak Januari tahun ini sehingga hari ini, menurut Pengarah Kesihatan Selangor Dr Shaari Ngadiman.

Ketika diminta mengulas mengenai laporan doktor kontrak di Lembah Klang yang letak jawatan disebabkan tekanan susulan lonjakan kes Covid-19, Shaari tidak merujuk kepada beban yang dihadapi oleh pegawai perubatan di Selangor.

Sebaliknya, dia mengaitkan peletakan jawatan itu atas sebab lain.

"Pertama pada masa ini, jika kita lihat, mereka berhenti sebab untuk berkhidmat di pusat pemberian vaksin yang menawarkan emolumen lebih tinggi.

"Kedua, keluarga mereka mempunyai klinik yang boleh mereka warisi," kata Shaari ketika sidang media bersama Kementerian Kesihatan di Putrajaya hari ini.

Dia kemudian mendakwa bahawa terdapat di kalangan mereka yang “hilang minat" dalam profesion perubatan dan memilih untuk menukar kerjaya.

"Mereka tidak lagi berminat untuk menjadi pegawai perubatan.

"Ada pegawai perubatan yang saya temui dan mereka menjadi jurugambar [...] ada yang lebih berminat untuk bekerja di kedai komputer kerana mereka berkata mereka dapat menjana pendapatan tiga kali lebih banyak,” katanya.

"Ini bermakna ada pelbagai sebab pegawai perubatan meninggalkan perkhidmatan kontrak mereka," tambahnya.

Seorang pegawai perubatan kontrak dari sebuah hospital di Lembah Klang baru-baru ini telah menyerahkan peletakan jawatannya dengan notis 24 jam.

Sebelum ini, dia memberitahu Malaysiakini bahawa sekurang-kurangnya 15 doktor di sebuah hospital awam telah berhenti sejak dua minggu lalu.

Dia juga mengesahkan dakwaan kumpulan pendesak, Hartal Doktor Kontrak, yang melobi kepada kerajaan agar kakitangan perubatan bertaraf kontrak dilayan dengan lebih baik.

Dua daripada surat yang dikongsikan dengan Malaysiakini menunjukkan peletakan jawatan doktor kontrak itu dimaklumkan melalui notis 24 jam.

Antara alasan yang diberikan untuk tindakan tersebut ialah ketepuan atau "burn out" dan masa depan yang tidak terjamin meski bertungkus-lumus merawat pesakit Covid-19.

Doktor yang bercakap kepada Malaysiakini dengan syarat identitinya tidak didedahkan, turut berkongsi maklumat mengenai insiden yang menyebabkan dia meletakkan jawatan.

Tiada peningkatan ketara

Sementara itu, Ketua Setiausaha KKM Mohd Shafiq Abdullah, yang juga hadir pada sidang media bersama Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata tiada peningkatan ketara dalam jumlah peletakan jawatan tahun ini.

"Dari data yang kami miliki, dari tahun 2014 hingga 2020 kami melihat kira-kira jumlah yang lebih kurang sama bagi pegawai perubatan yang meletak jawatan,” katanya yang turut menyebut faktor yang sama seperti yang disebutkan oleh Shaari.

"Jadi kita tidak melihat trend yang lebih tinggi," kata Shafiq.

 

Katanya, kementerian berpendapat bahawa kebanyakan pegawai perubatan akan tetap setia pada profesion mereka, terutama ketika pandemik Covid-19 melanda.

Dia juga mengharapkan agar tawaran Putrajaya kepada pegawai perubatan kontrak seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin awal hari ini, iaitu beberapa hari menjelang mogok yang dirancang di seluruh negara, dapat memberikan kementerian masa yang diperlukan untuk memenuhi permintaan utama untuk perjawatan tetap.

Terdahulu, Muhyiddin dalam satu kenyataan berkata kerajaan bersetuju supaya pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak menerima manfaat kerjaya yang setara dengan pegawai tetap.

Ia termasuk ditawarkan cuti belajar bergaji penuh serta tajaan pengajian yang setara dengan cuti belajar bergaji penuh dan Hadiah Latihan Persekutuan.

Kabinet juga bersetuju supaya pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak ditawarkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan untuk mengikuti pengajian kepakaran.

Antara persetujuan lain yang turut dicapai adalah menambah baik kemudahan atau faedah yang ditawarkan kepada pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak seperti cuti tugas khas perubatan, cuti tibi dan kemudahan tambang mengunjungi wilayah asal.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Subramaniam Muniandy dalam respons balasnya mengalu-alukan lanjutan kontrak tersebut sebagai satu langkah jangka pendek yang diambil oleh kerajaan.

“Bagaimanapun, kami ingin menekankan sekali lagi bahawa ia bukan jalan penyelesaian untuk masalah ini kerana pandemik ini telah menunjukkan betapa pentingnya khidmat petugas kesihatan dan oleh itu perlu ada lebih banyak jawatan harus ada untuk penjawatan tetap,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, dia juga berharap dapat bekerjasama dengan perdana menteri dan KKM dalam mengembangkan rancangan jangka masa panjang secara holistik dalam penjawatan petugas kesihatan di sistem penjagaan kesihatan kerajaan. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen