malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Saya mangsa pendakwaan terpilih kerana enggan ikut arahan Dr M'
Diterbitkan:  Jul 22, 2021 7:45 PM
Dikemaskini: 11:48 AM
ADS

Kurang seminggu selepas mahkamah membatalkan sabitan bersalah terhadap Tengku Adnan Tengku Mansor dalam kes rasuah, ahli parlimen Putrajaya itu hari ini menyalahkan Dr Mahathir Mohamad sebagai punca dia diheret ke mahkamah.

Kata Tengku Adnan, dia dihadapkan ke mahkamah selepas enggan menerima pujukan dan arahan untuk meninggalkan Umno ketika Mahathir mengetuai kerajaan Pakatan Harapan.

"Persoalan kenapa saya diheret ke mahkamah memang bukan lagi rahsia. Saya adalah antara mangsa pendakwaan terpilih apabila enggan mengikut arahan dari Tun.

"Bukan sekali pelawaan yang bertukar jadi pujukan dan kemudian arahan untuk saya meninggalkan Umno serta menyertai ‘pengkhianat’ bangsa. 

"Akhirnya ugutan sekiranya saya enggan tunduk bertukar menjadi realiti apabila saya didakwa di mahkamah atas alasan yang diada-adakan," tulis Tengku Adnan di laman Facebooknya hari ini.

Tengku Adnan mendakwa seandainya dia memilih bersama parti yang ditubuhkan Mahathir, jawatan menteri akan diberikan kepadanya, malah kes pendakwaannya di mahkamah juga akan digugurkan 'sekelip mata'.

"Saya bukanlah lembu yang dicucuk hidung kerana jati diri dan maruah saya adalah tersemat untuk agama, bangsa dan tanah air yang telah saya ikrarkan," katanya.

'Saya tak tambah harta seperti Tun'

Kata Tengku Adnan, kebanyakan orang yang mengenalinya termasuk Mahathir sendiri tahu bahawa nilai rasuah yang didakwa sebanyak RM2 juta adalah terlalu kecil buat dirinya.

"Malah sewaktu saya dilantik sebagai Timbalan Menteri di JPM tahun 2000, saya telah mengisytiharkan nilai aset saya berjumlah RM980 juta ketika itu sehingga Tun sendiri terkejut.

"Memang, bukan nilai harta yang jadi perhatian, kerana nilai aset saya menyusut selepas penglibatan aktif saya dalam politik lantaran saya yang lebih gemar menggunakan wang sendiri daripada menjarah wang parti atau kerajaan.

"Itu bukan saya yang menggunakan jawatan untuk menambah harta sebagaimana yang Tun manfaatkan kuasa kepada barisan anak-anak Tun dengan limpahan jawatan dan kontrak pelbagai hinggakan mereka kaya raya," katanya.

Pada 16 Julai, Mahkamah Rayuan membatalkan sabitan bersalah terhadap Tengku Adnan dalam kes rasuah melibatkan RM2 juta.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membuat keputusan dengan majoriti 2-1.

Pada 21 Disember lalu, Mahkamah Tinggi  memutuskan ahli parlimen itu bersalah kerana menerima rasuah daripada pemaju harta tanah Chai Kin Kong.

Jabatan Peguam Negara akan membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah rayuan.

Lihat Komen