malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Polis pesta arak di balai harus dipecat - Zaid
Diterbitkan:  Jul 22, 2021 5:08 PM
Dikemaskini: 9:29 AM
ADS

  • Dikemas kini dengan penggantungan kerja dan reman ketua balai.

Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim berkata, anggota polis yang ditahan kerana berpesta arak dan ketum bersama empat wanita harus berdepan tindakan undang-undang.

"Sudah pasti tidak," tegasnya ketika ditanya apakah cukup untuk menyiasat mereka atas kesalahan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan.

"Pegawai polis harus melaksanakan tugasnya sesuai dengan undang-undang kepolisan dan peraturan lain bawah undang-undang itu," tambahnya.

Katanya lagi, empat anggota polis terbabit termasuk ketua balai di sebuah balai polis di Kajang harus dipecat atau digantung.


Baca: Ketua balai digantung kerja, positif ganja


Zaid membangkitkan sama ada keempat-empat anggota terbabit mendapat perlindungan pegawai yang lebih tinggi, yang mendorong mereka bertindak sedemikian secara terang-terang.

"Pasukan polis kita memerlukan pembersihan nasional.

"Pasukan polis selalu dikaitkan dengan ketua-ketua gengster bawah tanah yang melibatkan dadah, pelacuran dan lain-lain. Rasuah dalam pasukan ini berleluasa, menurut Zaid.

"Oleh itu, apa yang berlaku di Kajang tidak mengejutkan," tambahnya.

Menjawab persoalan lain, Zaid berkata orang ramai juga ingin melihat bagaimana Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin akan menangani kejadian ini.

"Menteri dalam negeri selalu bersikap tegas dengan masyarakat terhadap pelanggaran SOP. Orang ramai ingin melihat bagaimana dia akan bertindak terhadap insiden terbabit yang telah mencemarkan seluruh pasukan.

"KPN (baru) (Acryl Sani Abdullah) dipilihnya sendiri: jadi dia dan menteri bertanggungjawab harus sependapat," tambahnya.

Semalam, dilaporkan sebuah balai polis di Kajang, Selangor bertukar menjadi "kelab malam mini" apabila ketua balai dan tiga anggotanya bersama-sama empat wanita berpesta di situ.

Setelah mendapat maklumat awam, pasukan dari Bukit Aman menyerbu balai tersebut petang semalam dan menangkap lapan individu.

Menurut laporan, kejadian itu berlaku di sebuah "bilik khas" di tingkat dua dan turut dipasang dengan lampu berputar.

Ketika serbuan itu, kesemua mereka didapati sedang menari dan menyanyi karaoke, menurut laporan itu lagi.

Antara barang yang dirampas dalam serbuan adalah botol minuman keras, lima botol air ketum, lampu disko, peralatan sistem pembesar audio, serta gambar lucah yang memaparkan salah seorang anggota yang ditahan dengan seorang perempuan.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Azri Ahmad mengesahkan insiden itu.

Dia berkata kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu berhubung kesalahan "perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa".

Digantung, reman dua hari

Sementara itu, dalam perkembangan terbaru, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Azri Ahmad berkata seorang ketua balai yang ditahan digantung kerja mulai hari ini dan direman dua hari.

Katanya, hasil ujian air kencing pegawai polis berpangkat sub insp itu positif ganja.

“JIPS dalam pada itu masih menjalankan siasatan lanjut berhubung salah laku dan tatatertib anggota terlibat manakala yang lain diserahkan kepada bahagian-bahagian berkaitan untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya kepada Bernama.

Dalam serbuan itu, turut ditahan dua anggota polis berpangkap koperal, seorang koperal sokongan dan empat wanita.

Lihat Komen