malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
CITF kata isu jual pelindung muka di PPV 'selesai', netizen desak penjelasan lanjut
Diterbitkan:  Jul 20, 2021 4:49 PM
â‹…
Dikemaskini: 1:31 PM
ADS
  • KEMASKINI 9.30PM | Penjelasan daripada Ketua PPV BACC Dr Mahani Pardan. 

Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) memberi jaminan orang ramai tidak lagi diwajibkan membeli pelindung muka ketika ingin memasuki Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC), iaitu salah satu pusat pemberian vaksin (PPV) di Selangor.

Perkara itu dibangkitkan seorang pengguna Twitter @JasonT9380, yang mendakwa satu pelindung muka dijual pada harga RM10.

CITF berkata perkara itu telah "diselesaikan" malam tadi tetapi tidak mengulas lanjut tentangnya.

Ia menyebabkan ramai pengguna Twitter lain mendesak agar ada pihak yang dipertanggungjawab dan mereka yang telah pun membelinya diberikan semula wang mereka.

Sejumlah pengguna Twitter juga mendesak CITF agar mengulas lanjut tentang apa yang dimaksudkannya sebagai "diselesaikan".

Menurut mereka, apa yang berlaku di BACC dan tiadanya penjelasan lanjut oleh CITF hanya akan menghakis keyakinan orang ramai terhadap Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick).

Sementara itu, Ketua PPV BACC Dr Mahani Pardan dilaporkan mengakui memberi kebenaran kepada vendor untuk menjual pelindung muka tetapi menafikan yang orang ramai dipaksa untuk membelinya.

"Kami pada mulanya menjalankan usaha ini sebagai langkah berjaga-jaga bukan sahaja untuk petugas, tetapi untuk pengunjung iaitu penerima vaksin yang hadir ke sini.

"Jadi, apa kita boleh lakukan adalah dengan mengambil vendor luar untuk menjual pelindung muka.

"Tidak dinafikan memang ada jualan pelindung muka, dijual bermula RM3 sehingga yang berharga RM10 daripada jenis boleh diulang pakai sebagai pilihan," katanya seperti dipetik Harian Metro.

"Kami juga tidak mengambil keuntungan hasil jualan pelindung muka itu," katanya lagi.

CITF pada masa ini bergelut dengan isu persepsi setelah beberapa rakaman video yang mendakwa petugas menyuntik picagari kosong disebar di media sosial.

Selain itu, turut timbul dakwaan bahawa sistem temu janji vaksin boleh disalah guna dan membawa kepada penjualan temu janji vaksinasi.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen