malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MP boleh berbahas pada sidang khas parlimen - Takiyuddin
ADS

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan menafikan dakwaan sesetengah pihak mengatakan sidang khas parlimen yang akan berlangsung pada 26 Julai ini tidak dibenarkan berbahas.

Menurutnya, sidang khas tersebut mempunyai tiga agenda yang ditetapkan iaitu membentangkan proklamasi darurat, pembentangan proklamasi darurat berkait pilihan raya kecil (PRK) Gerik dan PRK Bogaya di Sabah serta penerangan menteri-menteri berkaitan dengan darurat dan Covid-19.

"Yang pertamanya, agendanya adalah membentangkan Proklamasi Darurat yang diisytiharkan pada 11 Januari lalu. Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan darurat di bawah proklamasi darurat akan dibentang Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

"Agenda kedua kita akan bentangkan proklamasi darurat yang telah dibuat bagi PRK Gerik dan PRK Bogaya di Sabah, ini pun telah dibuat pada bulan Disember (tahun) lalu tapi belum bentang lagi.

"Agenda ketiga pula penerangan menteri-menteri berkaitan dengan masalah darurat dan Covid-19 yang berlaku ini. Jadi penerangan menteri juga berdasarkan peraturan mesyuarat 14(1) (i), bukan saja-saja, ia ada dalam standing order," katanya ketika ditemui di majlis penyampaian Bakul Makanan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu, hari ini.

Sehubungan itu Takiyuddin berkata, semua ahli Parlimen dibenarkan berbahas dan memberi pandangan sebarang isu berbangkit susulan agenda-agenda yang ditetapkan.

"Secara pokoknya, saya nak sebutkan dengan jelas bahawa kebenaran daripada speaker untuk ahli Parlimen membahaskan dan mengemukakan soalan-soalan atas saranan perdana menteri.

"Dalam surat perdana menteri kepada speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara dengan jelas meminta kebenaran supaya membenarkan ahli Parlimen membahaskan isu yang dibincangkan asalkan tidak melanggar tatacara berbahas serta tidak disekat oleh speaker.

"Ini menunjuklan bahawa kerajaan kita telus, ahli Parlimen boleh mengambil bahagian dan boleh memberi pandangan selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong supaya perkara ini dibincangkan di Dewan Rakyat," katanya.

Tambahnya, tidak timbul isu penerangan sebelah pihak ataupun mendengar taklimat sahaja pada sidang khas selama lima hari itu.

Pada 15 Julai lalu, Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun berkata sesi penuh persidangan parlimen hanya akan bermula pada 6 September.

Jelasnya, sidang parlimen yang diumumkan bermula 26 Julai hingga 2 Ogos merupakan persidangan khas Dewan Rakyat.

Ahli parlimen pembangkang menyuarakan kebimbangan bahawa persidangan Dewan Rakyat selama lima hari itu hanya akan mendengar penerangan oleh menteri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen