BERITA

ULASAN | Pastikan sidang khas parlimen bukan gimik politik

Fakhrurrazi Rashid

17 Jul 2021, 12:28 pagi

Dikemaskini 6 hari lepas

A
+
A
-

ULASAN | Sidang khas parlimen - selama lima hari untuk Dewan Rakyat dan tiga hari untuk Dewan Negara - akan bermula 26 Julai ini. Ramai yang tertunggu-tunggu akan sidang khas itu setelah fungsi parlimen digantung hampir lima bulan akibat proklamasi darurat pada 12 Jan lalu.

Namun, beberapa persoalan timbul apabila pemberitahuan sidang khas yang dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat pada 15 Julai menyatakan sidang itu hanya menumpukan penerangan daripada pada menteri selama lima hari.

Adakah ini bermaksud perbahasan dan proses pengundian ke atas Pelan Pemulihan Negara (PPN), Ordinan Darurat, dan pelaksanaan parlimen hibrid tidak akan berlaku pada 26 Julai?

Konsep sidang khas parlimen kali ini dilihat lari dari konsep sebenar apabila parlimen dijadikan tempat mendengar 'kuliah' menteri tanpa perbahasan dan proses undian.

Sedangkan rakyat sudah menyuarakan kepentingan parlimen dalam membetulkan dasar-dasar kerajaan yang lemah sehingga keadaan pandemik di Malaysia menjadi tidak terkawal.

Maka, ada perkara yang perlu dikaji dan diteliti untuk menambah baik sidang khas parlimen nanti agar ia benar-benar membincangkan isu rakyat, bukan gimik politik kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang hanya mahu meredakan kemarahan rakyat.

Kali terakhir sidang khas parlimen diadakan ialah pada 26 dan 27 Jan 2016 ketika Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mustapa Mohamed membawa usul membahaskan penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA). Sidang khas selama dua hari itu dilakukan sebelum pembukaan parlimen pada 7 Mac.

Selepas usul TPPA dibahaskan, proses pengundian usul berlaku dengan 127 orang ahli parlimen menyokong penyertaan Malaysia dalam TPPA dan 84 orang pula tidak bersetuju.

Cacatkan prinsip semak imbang

Persoalannya, jika sesi perbahasan dan pengundian usul boleh berlangsung semasa sidang khas TPPA selama dua hari pada 2016, apakah rasional sidang khas parlimen pada 26 Julai nanti tidak mampu melakukan perkara sama?

Adakah kerajaan PN masih enggan berhadapan dengan ujian keabsahan di parlimen?

Saya kira, kerajaan PN harus melihat sidang khas parlimen nanti dengan konteks yang lebih luas dan matang. Perbahasan Ordinan Darurat dan PPN perlu dilaksanakan supaya ahli parlimen dapat membangkitkan pertanyaan dan meminta penjelasan daripada menteri mengenai dasar kerajaan.

Perkara ini selari dengan penegasan kenyataan media Yang di-Pertuan Agong pada 16 Jun yang mahu ahli parlimen membahas perkara berkenaan sebelum tempoh darurat tamat.

Ia juga satu ruang dan peluang untuk ahli parlimen mengemukakan pertanyaan dan teguran konstruktif terhadap kecuaian jemaah menteri menangani wabak Covid-19.

Malah, ia turut memberi ruang secukupnya buat jemaah menteri memberi penjelasan dan jawaban yang jelas lagi terperinci kepada ahli parlimen jika sesi perbahasan berlaku.

Tanpa perbahasan dan proses pengundian usul kerajaan, ia telah mencacatkan prinsip semak dan imbang parlimen yang begitu penting untuk memastikan kerajaan bertanggungjawab atas setiap keputusan yang mereka kuatkuasakan.

Maka, apakah pendekatan yang perlu diambil untuk memastikan sidang khas parlimen pada 26 Julai bukan sekadar gimik politik kerajaan PN?

Selain perbahasan dan pengundian, terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan bagi memastikan sidang khas nanti benar-benar berfungsi.

Pertama, tempoh masa persidangan khas akan datang seharusnya berjalan penuh dan tidak perlu dipendekkan. Parlimen perlu bersidang seperti biasa iaitu dari jam 10 pagi hingga 5.30 petang, bukan seperti sidang semasa pembentangan Belanjawan 2021 yang hanya bersidang separuh hari.

Peruntukan masa yang panjang penting bagi memberi ruang dan masa mencukupi bagi setiap ahli parlimen berbahas serta memberi teguran membina kepada dasar dan tata kelola kerajaan yang mempunyai pelbagai kelemahan yang harus diteliti semula.

Sekiranya waktu persidangan khas dilanjutkan sehingga tengah malam sekali pun, ia adalah mesej yang baik untuk membuktikan kepada rakyat bahawa ahli parlimen ‘bekerja’ keras bagi membahaskan hala tuju negara dan soal kehidupan rakyat bagi menempuh krisis seterusnya.

Harapan rakyat memang tinggi

Kedua, peruntukan dua hari persidangan khas kepada urusan atau usul yang mahu dibawa kepada pembangkang. Pendekatan ini memberi peluang kepada pembangkang membentangkan idea dan dasar alternatif untuk dicadangkan kepada kerajaan, khususnya dalam isu ekonomi dan kesihatan rakyat.

Ketiga, sidang khas parlimen perlu berbincang untuk meneruskan fungsi jawatankuasa pilihan khas (JPK) bagi menyiasat dan menyemak dasar-dasar kerajaan sebelum persidangan penuh parlimen yang akan bermula pada 6 Sept ini.

Hakikatnya, kerajaan perlu melihat sidang khas parlimen secara terbuka dan menerima cadangan serta kritikan konstruktif daripada ahli parlimen bagi memperbaiki kelemahan dasar, khususnya ketika PPN dilihat tidak berkesan membawa negara keluar dari krisis.

Ukuran persidangan khas parlimen nanti harus berlandaskan kepada kerjasama kedua-dua belah pihak bagi mendengar dan memutuskan penyelesaian terbaik buat rakyat.

Persidangan ini tidak akan berjaya sekiranya kerajaan PN masih lagi angkuh dan tidak mahu menerima pandangan konstruktif pembangkang untuk membetulkan dasar dan tadbir urus mereka yang begitu lemah.

Rakyat meletakkan harapan tinggi agar persidangan khas nanti dapat menyaksikan kerjasama kerajaan-pembangkang bagi membaiki kelemahan dasar yang sedia ada.

Bagi rakyat, parlimen adalah benteng terakhir untuk memulihkan semangat dan kehidupan mereka yang terjejas teruk.


Fakhrurrazi Rashid ialah koordinator penyelidik Research for Social Advancement (Refsa).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.