malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
ULASAN | Politik idealisme berteraskan nilai
ADS

“Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepada-Nyalah aku kembali.” (Surah Hud: 88)

Bertitik tolak daripada seruan ini, bagi memaknai arah tuju perjuangan dan berilhamkan akar tradisi budaya-budaya Asia yang segar dan mekar dengan reformasi sejagat, maka tumbuh mekar perjuangan pembaharuan rakyat yang dinamakan Gerakan Reformasi.

Iktibar dan kepekaan dengan apa yang dilalui negara, tidak dapat tidak, tanah air ini memerlukan satu arus perubahan sebenar yang mengangkat nilai-nilai yang benar, berakar tradisikan Malaysia bagi menjamin dan meyakinkan arah masa depan nusa yang lebih baik untuk generasi pewaris.

Apakah ini gerakan politik? Jawabnya,ya dan tidak. Ya, kerana ia tumbuh mengarus dari lapangan politik yang cukup berdaya dan riuh bersambut dokongan marhaen yang begitu dahagakan perubahan besar nilai yang mampu memaknakan sejahtera sebenar bagi Malaysia ini.

Tidak, kerana nilai-nilai yang tersemai dalam arus reformasi ini adalah nilai sejagat yang mesti terbina disetiap ceruk hati ahli nusa yang menjunjung kedaulatan negara ini.

Ini membawa maksud, segala intipati reformasi ini hakikatnya perlu bertitik tolak daripada nilai sejati yang terpancar dari hati nurani dan kesedaran bahawa integriti, keadilan, kemuliaan insan, dan kemerdekaan hidup itu adalah perkara yang perlu dimaknakan dengan dirasai hadirnya dalam kehidupan.

Bukan omongan mencipta pesona politik dalam meraih undi dan sokongan semata.

Inilah yang menjadi teras besar reformasi yang dipacu oleh Anwar Ibrahim. Apakah ia satu gerakan spontan kerana sesuatu peristiwa? Hakikatnya, tidak. Ia tidak datang dengan ilham mimpi siang dek lena yang nyenyak.

Perjuangan yang terisi daripada asuhan para dai dan cendekiawan besar mencorak dan menajamkan pemikiran persis besi yang diasah dan ditempa menjadi pedang yang halus seninya lagi tajam pula matanya.

Sejarah perjuangan beliau sedari mudanya terasuh dengan nilai-nilai hikmah sebagai seorang Melayu dan Islam.

Tidak pelik jika ramai yang melihat sosok politik ini punyai gaya politik yang berbeza daripada politikawan lainnya.

Minda politiknya tidak berpaksikan kuasa dan laba kekuasaan, (tanpa menafikan kekuasaan adalah perlu sebagai alat bagi melaksanakan agenda reformasi ini), sebaliknya lebih terarah kepada politik nilai dan mengangkat kemuliaaan insan.

Contoh kes yang boleh dirujuk, ketika menjawat Chairman Development Committee IMF, beliau mengusulkan bersama ahli jawatankuasa (antaranya Manmohan Singh, Gordon Brown ketika itu) membatalkan hutang beberapa negara miskin Afrika agar negara ini dapat “bernafas” dengan lebih baik ekonominya, sekali gus boleh memberikan sedikit lebih keselesaan hidup rakyat yang terhimpit dengan kemiskinan.

Politik berteraskan nilai

Politik secara faham umumnya adalah bidang pengurusan pemerintahan dan pentadbiran sesebuah wilayah atau negara.

Kuasa politik adalah satu keboleh pegangan wilayah pengaruh yang boleh menentukan halatuju sesebuah negara ke arah bagaimana ia beroperasi dengan matlamat akhirnya keberhasilan.

Politik berteraskan nilai adalah tema politik yang mengangkat nilai sejagat baik daripada sudut idealisme, budaya dan jati diri sesebuah bangsa sebagai roh pembentukan perlaksanaan kekuasaan politik.

Dalam konteks Malaysia, unik sebagai sebuah negara pelbagai kaum dan agama, nilai-nilai baik dan tinggi dalam tradisi Asia yang cukup kaya dengan nilai keadilan, kesantunan, integriti, berbudi pekerti dan keinsanan seharusnya menjadi isi atau inti pati yang mendasari perlaksanaan kekuasaan politik ini.

“Untuk mencapai nilai pimpinan baik,demokrasi yang bermakna dan hidup, mesti datang dari pencernaan hati nurani.” ( Anwar Ibrahim)

Kalimat ini nyata selari dan berakar umbi daripada satu hadis Nabi SAW:

Maksudnya: “Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung).” [Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (1599)]

Hati menjadi titik awal dalam sesuatu penghasilan perlakuan baik mahu pun buruk. Seorang pemimpin yang punya hati nurani yang jernih,jiwa yang hidup,akal yang cerdas pasti akan mempertimbangkan nilai baik sebagai matlamat utama keberhasilan dalam merangka dan melaksanakan sesuatu dasar atau kerja.

Hati yang tercerna dengan nilai ehsan dan kebertanggung jawaban pasti tidak mampu berlaku curang dan khianat dalam melaksanakan pengurusan kerja politik yang menatijahkan buruk kepada individu,sekumpulan, wilayah dan rakyat terbanyak. Maslahah rakyat menjadi pertimbangan utama dalam memutuskan sesuatu perkara.

‘’Syariah itu tidaklah dijadikan melainkan untuk mentahkikkan maslahah-maslahah kepada para hamba masa kini dan akan datang, serta menolak sebarang mafsadah kepada mereka’.’ ( Imam al Syatibi)

Melihat kepada pengurusan sesebuah negara, contoh yang jelas dan mudah difahami adalah pengurusan sumber hutan. Hutan adalah khazanah bumi yang ada dalam sesebuah negara mempunyai nilai yang tinggi baik dari perolehan kewangan, mahupun nilai keberadaan hutan itu sendiri.

Memimpin negara tanpa berteraskan nilai,mudah untuk melihat khazanah ini sebagai sumber material (wang) yang tinggi.Penjualan hasil penerokaan hutan memberikan hasil pulangan yang lumayan bagi kantung negara.

Namun, bagi pemimpin yang punyai prinsip yang berteraskan nilai, akan mempertimbangkan bukan hanya laba material,malah kesan penerokaan itu kepada kesejahteraan kehidupan rakyat.

Mempertimbang akan kemungkinan boleh diatasi permasalahan, menjangka isu yang mendatang dan meneroka solusi permasalahan.

Andai segala pertimbangan lebih mendatangkan gangguan kepada kesejahteraan rakyat, maka kesejahteraan rakyatlah menjadi pilihan.

Ini disebut sebagai maslahah ammah atau kepentingan umum. Maslahah ammah adalah sesuatu yang mengangkat nilai manfaat dilihat daripada kepentingan umat manusia dan tiadanya nilai mudarat yang terkandung dalamnya, baik yang dihasilkan dari kegiatan jalbul manfa'ah (mendapatkan manfaat) maupun kegiatan daf’ul mafsadah (mengelak keburukan).

Indikator maslahah ammah ini diukur dengan indeks tujuan syariat, atau dikenali dengan maqasid syariah, iaitu terpeliharanya lima hak dan jaminan kemuliaan insan (al-usul al khamsah), yang meliputi; memelihara agama, memelihara nyawa, memelihara akal, memelihara keturunan dan memelihara harta.


AMIDI ABDUL MANAN ialah pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama merangkap anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen