malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Top Glove henti operasi di Klang sementara tunggu penjelasan MKN
ADS

Nota editor: Laporan ini telah dikemas kini dengan maklum balas Top Glove.


Kilang pembuat sarung tangan perubatan Top Glove di Klang, Selangor, akan menghentikan operasi buat sementara waktu sementara menunggu penjelasan dari Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Syarikat ini berharap dapat meneruskan operasi dengan selamat pada waktu yang sesuai dan terus menghasilkan sarung tangan perubatan yang sangat diperlukan untuk barisan hadapan dan pekerja penjagaan kesihatan di Malaysia dan global.

"Syarikat ini akan terus mematuhi peraturan dan undang-undang yang relevan, serta prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19, dan berkomitmen untuk menjaga kesihatan dan keselamatan tenaga kerjanya dan masyarakat di mana ia beroperasi," katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Kenyataan itu juga menyatakan bahawa ketetapan MKN mengenai industri yang disenaraikan di bawah perkhidmatan penting semasa perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) melibatkan semua pembuat sarung tangan dan bukan Top Glove sahaja.

PKPD dilaksanakan pada 3 Julai berikutan kenaikan kes Covid-19 di Lembah Klang.

Awal hari ini, Malaysiakini memetik sumber Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) yang menyatakan bahawa surat kebenaran untuk Top Glove beroperasi ketika PKPD ditarik balik.

Sumber itu mengatakan ia dibatalkan kerana mereka tidak termasuk dalam senarai perkhidmatan penting dalam SOP MKN dan terletak di kawasan PKPD.

“Ketika konfigurasi sistem, terdapat sesetengah syarikat yang dapat memuat turun surat (kebenaran) tersebut, tetapi mereka masih tidak boleh menggunakan surat tersebut (untuk beroperasi) atas sebab SOP,” kata sumber dalam respons kepada Malaysiakini hari ini.

Sebelum ini, surat yang dilihat Malaysiakini menyatakan kilang yang terletak di Klang, Selangor itu disahkan telah didaftar dalam Sistem Pengurusan Pintar Covid-19 (CIMS) yang dikendalikan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), serta dibenarkan beroperasi dalam tempoh pelan pemulihan negara (PPN) bermula 5 Julai.

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata hanya kilang yang mengeluarkan barang keperluan seperti beras, roti, gula, minyak masak, gandum, susu segar, formula bayi, ubat-ubatan dan pelitup muka yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKPD.

Sumber Miti menekankan bahawa surat kebenaran sebelum ini yang dimuat turun oleh syarikat yang tidak tersenarai sebagai sektor penting tidak lagi sah untuk diguna pakai.

Ini termasuk dua kilang dan satu pejabat di Klang dan Teluk Panglima Garang, Kuala Langat yang juga mempunyai surat CIMS yang dilaporkan oleh Malaysiakini.

Menurut sumber dari Miti, surat tersebut tidak sah memandangkan prosedur operasi standard (SOP) sewaktu PKPD perlu dipatuhi.

“Mereka perlu patuhi SOP… Jika mereka mempunyai kilang di bukan kawasan PKPD dan berada di bawah sektor yang dibenarkan beroperasi, jadi tiada isu,” katanya lagi.

Dia berkata demikian apabila ditanya mengenai aduan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bahawa terdapat kilang dan pejabat yang bukan sektor penting dalam kawasan PKPD mendapat kebenaran untuk beroperasi.

PKPD untuk sebahagian besar Selangor berkuat kuasa sehingga 16 Julai.

Lihat Komen