malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MP bimbang sidang parlimen bertukar jadi sesi taklimat
Diterbitkan:  Jul 6, 2021 8:29 AM
Dikemaskini: 1:09 AM
ADS

Ahli Parlimen pembangkang menyuarakan kebimbangan bahawa sidang parlimen pada 26 Julai ini akan menjadi sesi taklimat kerajaan semata-mata.

Ini setelah Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan yang dikeluarkan tidak menyebut mengenai perbahasan dewan.

Sebaliknya, PMO mengatakan persidangan ini bertujuan untuk memberi penjelasan kepada ahli parlimen mengenai Pelan Pemulihan Negara dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan diadakan secara hibrid

Ini bagi membolehkan  proklamasi dan ordinan darurat dibentangkan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, sidang parlimen tidak seharusnya bersifat formaliti semata-mata memandangkan dia ingin membangkitkan pelbagai isu rakyat akibat wabak Covid-19.

"Buat apa buka parlimen jika tiada perbahasan dan undian. Hadir sekadar dengar ceramah kerajaan.

"Saya nak bawa isu rakyat. SOP dua darjat. Yuran universiti dan nasib mahasiswa. Moratorium tanpa faedah. Rakyat 1st, bukan untung bank-bank besar! Cash handout bagi rakyat.

"Peniaga kecil mati, tapi Kilang ok. Please la! Kalau nak buka, buka seluas luasnya.

"Bukan sekadar formaliti supaya kami dengar ceramah kerajaan. Saya wakil rakyat. Rakyat bayar gaji saya. Saya wajib berkhidmat untuk mereka,”kata Syed Saddiq dalam catatan di Facebook.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin juga menimbulkan kebimbangan yang serupa.

“Dari kenyataan (PMO) ini, ahli parlimen semakin bimbang bahawa sidang parlimen akan menjadi sesi taklimat.

"Tidak ada soalan, tidak ada perbahasan. Bagaimana kita membawa isu-isu rakyat - vaksin, (pinjaman) moratorium, perintah kawalan pergerakan yang dipertingkatkan, SOP?

"Jangan biarkan demokrasi berparlimen mati di unit rawatan rapi," kata Sim di Twitter.

Semalam, PMO mengumumkan parlimen akan bersidang pada 26 Julai setelah Yang di-Pertuan Agong menitahkan agar kerajaan Perikatan Nasional memanggil sidang Dewan Rakyat secepat mungkin.

Parlimen digantung sejak 11 Januari berikutan perisytiharan darurat yang akan berakhir pada 1 Ogos.

Sementara itu, bekas perdana menteri Najib Razak menyifatkan kerajaan PN sebagai "penakut".

"Setelah 8 bulan tidak bersidang, depa buka parlimen cuma lima hari.

"Hari pertama titah perasmian YDP Agong bagi mesyuarat penggal. Isu utama bagi baki empat hari ialah membahas dan luluskan bagaimana parlimen boleh bersidang secara hibrid.

"Lepas itu, kata cuma bentangkan proklamasi dan ordinan darurat di hadapan kita.

"Sepatutnya, pelan pemulihan perlu dibahas, bantuan rakyat perlu didebat, langkah lawan Covid perlu diteliti dan ordinan-ordinan Darurat perlu didebat," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen