malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Polis buka 2 kertas siasatan terhadap Ronnie Liu
ADS

Polis mengesahkan dua kertas siasatan dibuka terhadap Ahli Jawatankuasa DAP Ronnie Liu mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang SAC Mohd Yusri Othman berkata Liu dipercayai melakukan perbuatan itu di pekarangan Mahkamah Raub hari ini semasa prosiding reman terhadap 18 pekebun durian Musang King yang didakwa menceroboh kawasan hutan simpan berlangsung.

"Siasatan juga dilakukan mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 jika dia melanggar prosedur operasi standard (SOP) semasa merentas negeri ke Raub.

"Walaupun dia boleh merentas negeri sebagai ahli politik namun ia bergantung kepada SOP Majlis Keselamatan Negara," katanya semasa dihubungi.

Turut kelihatan di pekarangan mahkamah ialah beberapa lagi ahli politik DAP antaranya Ahli Parlimen Raub Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, Ahli Parlimen Bentong Wong Tack, Adun Bilut Lee Chin Chen dan Adun Tras Chow Yu Hui.

Mahkamah Majistret Raub membenarkan 18 pekebun berusia lingkungan 17 hingga 60 tahun itu direman sehingga esok bagi membantu siasatan Jabatan Perhutanan Pahang berhubung dakwaan meneroka Hutan Simpan Kekal Batu Talam untuk menanam Musang King.

-Bernama

Lihat Komen