malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Polis siasat Top Glove atas dakwaan cuai isu Covid-19
ADS

Polis sedang menyiasat Top Glove Corp Sdn Bhd atas tuduhan kecuaian yang mungkin menyebabkan penularan Covid-19, serta wanita yang baru-baru ini membuat tuduhan itu dalam video TikTok yang tular di media sosial.

Ketika dihubungi, Ketua Polis Klang Utara Nurulhuda Mohd Salleh mengatakan pasukan usaha sama telah memeriksa premis Top Glove pagi ini berkaitan dengan siasatan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan.

Syarikat pembuat sarung tangan getah terbesar di dunia itu mempunyai lebih daripada 30 fasiliti di sekitar Klang.

Nurulhuda tidak menyatakan secara spesifik lokasi pemeriksaan dibuat.

"Siasatan terhadap Top Glove sedang berjalan di bawah Seksyen 269. Sekarang ini kami memberi tumpuan kepada Top Glove, kerana mereka mempunyai 31 kilang di sini.

"Kilang-kilang lain pernah kami periksa sebelumnya. Kami telah memeriksa lebih 60 kilang di Klang Utara," katanya.

Selain itu, Top Glove disiasat di bawah Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana tidak mematuhi perintah sah yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

Malaysiakini telah menghubungi pihak pengurusan Top Glove untuk mendapatkan komen.

"Kami juga sedang menyiasat seorang wanita yang mendakwa bahawa peningkatan kes Covid-19 di Selangor disebabkan oleh kilang sarung tangan," kata Nurulhuda.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin semalam mengatakan wanita itu akan dipanggil kerana videonya didakwa boleh menimbulkan ketakutan di kalangan orang ramai mengenai wabak Covid-19 di Selangor.

"Siasatan terhadap individu dalam video tersebut dilakukan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana menyebarkan pernyataan yang boleh menimbulkan ketakutan di kalangan orang-orang," katanya, seperti dilapor Bernama.

Dia dilaporkan mengatakan bahawa wanita itu mendakwa pergerakan pekerja kilang positif Covid-19 ke dua hostel di Klang, dan terdapat kes kematian akibat jangkitan Covid-19, yang berkaitan dengan asrama mereka di Sungai Way, Petaling Jaya, yang ditempatkan di bawah PKPD.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen