malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tak cukup katil bagi pesakit kritikal, usaha tingkatkan kapasiti sedang dibuat
Diterbitkan:  Jul 5, 2021 10:21 AM
Dikemaskini: 2:21 AM
ADS

Ramai pesakit bukan Covid-19 yang kritikal perlu menunggu untuk mendapatkan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital memandangkan hospital kini sesak dengan pesakit Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Walaupun begitu, Noor Hisham berkata usaha sedang dilakukan untuk meningkatkan kapasiti katil di hospital.

Menurutnya, jumlah pesakit Covid-19 di ICU, khususnya di Lembah Klang, masih belum menurun.

“Buat masa ini, terdapat 1,224 pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke ICU di mana 567 pesakit berada di Lembah Klang.

“Namun diingatkan, terdapat ramai pesakit kritikal yang masih berada di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital-hospital di Lembah Klang yang belum dapat dimasukkan ke wad kerana kesesakan dan kekurangan katil di wad dan ICU.

“Begitu juga dengan sejumlah besar pesakit Covid-19 kategori 3 dan kategori 4 yang memerlukan bantuan oksigen yang terpaksa dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Taman Pertanian Agro Malaysia Serdang (Maeps),” katanya dalam satu kenyataan.

Untuk mengatasi masalah tersebut, Noor Hisham berkata Hospital Kuala Lumpur akan menyumberluarkan (outsourcing) pesakit bukan Covid-19 ke hospital swasta.

Ia bertujuan untuk meningkatkan kapasiti Hospital Kuala Lumpur untuk merawat pesakit Covid-19  kategori 4 dan 5.

Noor Hisham berkata langkah lain termasuk meningkatkan kapasiti untuk merawat pesakit Covid-19 dua kategori tersebut di Hospital Pakar Kanak-kanak UKM, Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Seterusnya, Hospital Ampang akan dijadikan hospital khusus Covid-19, sama seperti Hospital Sungai Buloh yang telah menjadi fasiliti utama dalam merawat pesakit Covid-19 di Lembah Klang. Penukaran tersebut berlaku pada 30 Jun lalu.

Secara keseluruhan, Noor Hisham berkata, akan terdapat 17 hospital kerajaan yang dikhususkan untuk merawat pesakit Covid-19.

Sementara itu, Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) mengesahkan bahawa Kementerian Kesihatan telah meminta bantuan berikutan keadaan yang semakin buruk di hospital awam, terutama di Lembah Klang.

Presiden APHM Dr Kuljit Singh berkata anggotanya akan sedia untuk menghulurkan bantuan.

"Kementerian Kesihatan meminta APHM untuk mendapatkan bantuan dari anggota kami dalam menyediakan jururawat, pegawai perubatan dan pakar untuk membantu di fasiliti hospital awam.

"Sebagai respons permintaan mereka, kebanyakan kumpulan hospital swasta dan beberapa hospital persendirian telah bersetuju untuk membekalkan kakitangan jururawat terlatih (sebagai langkah pertama) secara berperingkat kepada kerajaan untuk membantu menguruskan pesakit Covid-19 di beberapa hospital awam yang terpilih di Lembah Klang.

"Kami akan membantu mereka dengan pegawai perubatan yang lain," katanya.

Sebelum ini, Kuljit berkata hospital swasta telah membantu dalam melawan Covid-19 dengan menyediakan alat bantuan pernafasan, melakukan ujian Covid-19 dan merawat pesakit Covid-19. Di samping itu, ia juga membantu dalam usaha vaksinasi.

Katanya, disebabkan penglibatan hospital swasta dalam aktiviti-aktiviti tersebut, ia telah berdepan dengan kekangan tenaga pekerja.

"Tanpa menghiraukan kesulitan itu, hospital swasta masih bersedia menyokong kerajaan dalam menguruskan situasi sedia ada.

"Harapan kami adalah pesakit dirawat secara sama rata di hospital swasta dalam mendapatkan rawatan terbaik dan ia akan dibayar sepenuhnya oleh kerajaan, seperti dalam Ordinan Darurat," tambah Kuljit.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen