malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kes lompat parti: Azmin 'disindir' rakan menteri PN, Maximus
Diterbitkan:  Jul 4, 2021 4:37 PM
Dikemaskini: 9:10 AM
ADS

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Maximus Ongkili menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan Menteri Kanan Azmin Ali untuk membatalkan saman yang difailkan oleh 10 pengundi Gombak terhadapnya atas tuduhan menipu dan melanggar tugas fidusiari sebagai ahli parlimen kawasan parlimen tersebut.

Maximus, yang juga menteri dalam kabinet Perikatan Nasional yang sama dengan Azmin, tidak berlapik dengan kata-katanya apabila memuji keputusan mahkamah yang memihak kepada pengundi yang menentang 'katak politik.'

"Kita semua berdoa semoga keputusan perbicaraan itu menyebelahi pengundi Gombak.

"PBS telah bersuara sejak penubuhan parti itu 36 tahun yang lalu terhadap tindakan pengkhianatan yang tidak berprinsip oleh wakil rakyat dengan melompat parti tanpa merujuk kepada pengundi," kata Maximus yang telah mewakili Kota Marudu sebagai ahli parlimen PBS sejak 1995.

Dia menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi sebagai penting dan ke arah pemulihan martabat proses parlimen.

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Maximus Ongkili.

"Bukan hanya sebagai pemimpin yang diundi, mana-mana penjawat awam juga mesti bertanggungjawab atas tindakannya, terutama hasil dan kesan yang timbul daripada kepercayaan yang diberikan oleh pengundi kita.

"Seperti yang diputuskan oleh Mahkamah atas kes tersebut, wakil-wakil rakyat yang diundi memiliki tugas fidusiari kepada pengundi mereka.

"Tugas fidusiari ini berdasarkan kepercayaan. Dan kepercayaan ini seharusnya diperoleh, tidak dipinjam, tidak dibeli atau diperdagangkan," tambahnya.

Minggu lalu menyaksikan pendengaran mahkamah dalam talian mengenai permohonan Azmin untuk membatalkan saman tersebut dan juga percubaan para pengundi untuk membatalkan sebahagian daripada pernyataan pembelaan ahli parlimen Gombak itu terhadap saman yang berkaitan dengan dakwaan pengkhianatan janji pilihan raya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Azmin cuba membatalkan saman itu kerana dia mendakwa ia melanggar hak asasi mereka untuk bebas berpersatuan yang dijamin bawah Perlembagaan Persekutuan.

Gambar fail, Langkah Sheraton.

Sepuluh pengundi Gombak itu berusaha untuk membatalkan sebahagian daripada pernyataan pembelaan Azmin, yang antara lain menyebut tuduhan seksual terhadap Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai alasan untuk berpaling tadah daripada menyokong parti politik itu.

Azmin, bekas timbalan presiden PKR, kini menjadi ahli Majlis Tertinggi Bersatu dan tindakannya berpaling tadah membantu meruntuhkan kerajaan pusat Pakatan Harapan.

Perbicaraan sekarang akan bermula dari 7 ke 10 Jun 2021 dengan pengurusan kes pada 22 April 2021.

PBS jatuh kerana 'katak politik'

Maximus berkata keputusan Mahkamah Tinggi itu memang dinanti-nantikan orang ramai, kerana akan menetapkan standard baru dalam amalan prinsip politik serta perilaku wakil rakyat dan kualiti perkhidmatan mereka.

"Pada bulan Jun 1995, saya membuat ucapan penting di parlimen, dan menumpukan banyak masa atas peristiwa kejatuhan pemerintahan PBS yang dipilih pada tahun 1994, hanya setelah lima minggu berkuasa, kerana katak politik.

"Ia memang peristiwa politik yang dahsyat bagi Sabah - sebuah kerajaan yang terpilih tiba-tiba boleh runtuh kerana politik yang tidak mempunyai prinsip politik oleh ahli-ahli Dewan Undangan Negeri yang dipilih dan dilantik," katanya.

"PBS berpandangan bahawa, sehingga ke hari ini, hanya parlimenlah yang boleh menjadikan tidak sah bagi seseorang ahli parlimen atau anggota DUN yang terpilih untuk melompat parti tanpa terlebih dahulu kembali mendapatkan mandat pengundi melalui pilihan raya kecil," katanya.

Anggota Parlimen Kota Marudu itu berkata pada tahun 1995 kerajaan PBS runtuh kerana memiliki majoriti lapan orang Adun, termasuk enam (Adun lantikan yang) dicalonkan, tetapi dalam 10 hari setelah runtuh, PBS hanya memilik lima Adun.

Antara Adun berpaling tadah terkenal ialah Yong Teck Lee, Bernard Dompok dan Joseph Kurup. Bapa saudara Ongkili sendiri Jeffrey Kittingan juga dikenang kerana telah mewakili sejumlah parti politik termasuk PBS, Akar, PBRS, PKR dan Star.

Untuk rekod, PBS sendiri telah mengubah keanggotaan dalam beberapa gabungan pada beberapa kesempatan selama bertahun-tahun sejak bermula dengan Barisan Nasional pada tahun 1980an dan kini bersama PN.

[Baca laporan asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen