malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bomba tak pernah benarkan kawat berduri di tangga PPR - Ketua pengarah
ADS

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Mohammad Hamdan Wahid menafikan bahawa pihaknya memberi kebenaran untuk pemasangan kawad berduri di tangga di Blok C, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas, Kuala Lumpur.

"Siapa yang berikan kebenaran? Bomba tak pernah berikan kebenaran.

"Menyekat cara melepaskan diri dari kecemasan di mana-mana premis adalah bertentangan dengan Peraturan Keselamatan Kebakaran & Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam.

"Kami tidak pernah dirunding untuk meletakkan kawad berduri di jalan keluar dengan cara itu.

"Akan berbahaya bagi penduduk sekiranya berlaku kebakaran," katanya kepada Malaysiakini semalam.

Hamdan diminta mengulas kenyataan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Ashari Abu Samah yang mendakwa pemasangan kawat tersebut dibuat setelah dipersetujui dalam mesyuarat penyelarasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang turut dihadiri bomba.

Ashari berkata, pemasangan kawat berduri di laluan tangga blok tersebut bagi mengelakkan penduduk keluar atau masuk dari blok berkenaan yang kini berada di bawah PKPD.

 

Kenyataan Ashari itu dibuat selepas timbul kebimbangan berikutan beberapa gambar yang diambil oleh agensi berita nasional Bernama dan dikongsi di media sosial, termasuk gambar menunjukkan kawat berduri menghalang akses ke alat pemadam kebakaran yang dipasang di dinding bangunan.

Mengulas lanjut, Hamdan berkata, tindakan segera telah diambil untuk membuang kawat berduri berkenaan. 

"Malah pengarah Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur datang untuk memantau kawasan perumahan itu bersama anggota dari stesen Taman Melawati," tambahnya.

Seorang arkitek, Azizul Azwar Abdul Aziz semalam menjelaskan bahawa saiz  dan jumlah tangga direka bagi memastikan semua penduduk boleh keluar dari bangunan jika berlaku kebakaran.

Walaupun polis berkata terdapat tangga lain yang tidak disekat, Azizul berkata, sekatan ke mana-mana tangga di sebuah bangunan boleh menyebabkan kesesakan di tangga lain yang tidak disekat, terutama ketika berlaku kebakaran.

Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa menerusi Twitter berkata kawat berduri tidak boleh dipasang di tangga mana-mana flat PPR yang dikenakan PKPD di Kuala Lumpur.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen