malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Tanda putus asa, mengalah' - Mufti P Pinang tak setuju kibar bendera putih
Diterbitkan:  Jul 1, 2021 5:51 PM
Dikemaskini: 9:51 AM
ADS

Mufti Pulau Pinang Dr Wan Salim Wan Mohd Noor hari ini menyuarakan tidak bersetuju dengan kempen mengibarkan bendera putih di rumah bagi meminta bantuan di tengah-tengah wabak Covid-19.

Memahami kesusahan hidup yang dihadapi rakyat pada masa ini, Wan Salim bagaimanapun berkata tindakan itu tidak wajar kerana ia mencerminkan sikap berputus asa terhadap apa yang dihadapi.

"Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang tidak bersetuju dengan cadangan mengibar bendera putih sebagai usaha menzahirkan kesusahan hidup yang dihadapi untuk menagih bantuan.

"Jabatan ini beranggapan bahawa tindakan sebegini tidak wajar dilakukan kerana ia mencerminkan sikap berputus asa dan mengalah terhadap situasi yang dihadapi.

"Bagi umat Islam khususnya perlulah memahami bahawa sikap berputus asa dan mudah mengalah kepada kesusahan dan kesempitan hidup adalah dilarang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bermula akhir bulan lalu, kempen bendera putih semakin mendapat perhatian dengan ramai yang dilaporkan melakukannya dan menerima bantuan kemudiannya.

Menerusi kempen itu, pihak yang berdepan kesusahan terutama ketiadaan bekalan makanan disarankan menaikkan bendera putih di rumah masing-masing untuk membolehkan mereka dibantu.

Wan Salim berkata lagi, banyak cara lain yang untuk mendapatkan bantuan bagi mengatasi masalah yang dihadapi akibat pendapatan yang terjejas dalam tempoh perintah kawalan pergerakan pada masa ini.

Katanya, antaranya menerusi bantuan daripada kerajaan persekutuan dan negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pusat pengurusan zakat di setiap negeri.

"Pihak wakil-wakil rakyat sama ada di peringkat parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri pula perlu memainkan peranan sebagai penghubung di antara golongan yang memerlukan bantuan dengan pihak-pihak ini," katanya lagi.

Pada masa sama, dia turut meminta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta agar menunaikan tanggungjawab sosial korporat dan turut serta menyumbang bagi meringankan beban golongan yang terjejas.

"Kami ingin menyeru supaya usaha-usaha intensif dan agresif ditingkatkan lagi oleh pihak berwajib untuk membantu mengatasi kemelut ekonomi yang dihadapi golongan yang terjejas dengan situasi ini.

"Kami juga ingin mengajak seluruh umat Islam supaya memperbanyakkan doa dan munajat supaya diangkat-Nya pandemik Covid-19 daripada muka bumi ini dan sama- sama bersabar menghadapi ujian ini, selain berikhtiar untuk mengatasi kemelut yang melanda," katanya lagi.

Lihat Komen