Polis hari ini menghalang tiga wakil rakyat pembangkang memasuki Mahkamah Majistret Kulim bagi mengikuti sebutan pertuduhan terhadap dua pemimpin Parti Keadilan Nasional berhubung pilihanraya kecil Lunas.
Anggota Dewan Rakyat PAS bagi Pokok Sena Mahfuz Omar dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri Keadilan Abdul Rahman Kadir (Penanti, Pulau Pinang) dan Saifuddin Nasution Ismail (Lunas, Kedah) dihalang 10 anggota polis yang mendakwa "mendapat arahan pihak atasan."
Ketua Pemuda Keadilan Mohamad Ezam Mohd Nor dan Adun Hulu Kelang Azmin Ali hari ini dituduh di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana didakwa menganggotai satu perhimpunan yang menyalahi undang-undang dan melucutkan hak pemandu lima buah bas penyokong Barisan Nasional untuk pergi ke markas parti itu pada hari membuang undi di Lunas 29 November lalu.
Dua pemimpin Keadilan itu enggan masuk ke mahkamah sehingga wakil-wakil rakyat itu dibenarkan masuk.
Pada masa yang sama, polis juga menghalang penjamin dua pemimpin Keadilan itu, wartawan dan orang awam daripada menghadiri sebutan kes itu.
Bagaimanapun, ketiga-tiga wakil rakyat Barisan Alternatif itu dibenarkan masuk selepas mereka mendesak polis.
"Selepas pertengkaran berlaku antara Mahfuz dan polis baru dia dapat masuk," kata Azmin kepada malaysiakini . "Malah Abdul Rahman terpaksa membaling kad jawatannya di depan polis."
"Sehingga peguam kami terpaksa membuat permohonan daripada majistret, barulah penjamin dapat masuk," kata Azmin lagi.
Wartawan dan orang awam kemudiannya dibenarkan masuk selepas perkara itu dibangkitkan oleh peguam di depan majistret.
Peguam Azmin juga meminta mahkamah merakamkan bantahan itu supaya perkara itu tidak berulang.
Bagaimanapun, menurut Azmin, beliau dan Ezam tidak mahu membuat sebarang pengakuan terhadap pertuduhan tersebut semasa mahkamah bersidang tadi.
"Tuduhan itu tidak relevan kerana tiada sebarang rusuhan berlaku," jelas Azmin.
"Peguam kami juga meminta penjelasan di depan majistret mengapa (Tan Sri) Khalil Yaacob (Menteri Penerangan), K Sivalingam (Adun Ijuk, Selangor) dan V Saravanan (pemimpin MIC di Kedah) tidak ditahan? Mengapa menjalankan selective prosecution (pendakwaan berpilih-pilih)? Pendakwaraya tidak dapat menjawab," kata Azmin.
Pada 29 November tiga pemimpin BN itu turut berada bersama Azmin dan Ezam di balai polis Lunas ketika penyokong pembangkang membuat laporan berhubung kehadiran 12 buah bas yang didakwa membawa pengundi hantu.
Sementara itu Saifuddin memberitahu malaysiakini , seorang anggota Keadilan Khairul Anwar Ramli ditahan tengah hari ini kerana dikatakan enggan bersurai selepas diarah berbuat demikian oleh polis. Khairul Anwar kini disoal siasat di ibu pejabat polis Kulim.
Kelihatan sebanyak 10 lori pasukan polis anti rusuhan FRU dan sebuah kenderaan meriam air ditempatkan di sekitar bangunan mahkamah. Sementara jalan menuju bangunan itu pula ditutup sehingga menimbulkan kesesakan di pekan Kulim.
Pada 21 Disember lalu, empat orang petugas BA dalam pilihanraya itu, termasuk Setiausaha Keadilan Kedah Zamil Ibrahim, ditahan oleh polis pada awal pagi dan dituduh di bawah akta yang sama.
Sementara tiga pemimpin Keadilan, Naib Presiden Tian Chua, Ketua Penerangan Ruslan Kasim dan aktivis Pemuda K Gopalakrishnan turut menerima pertuduhan di bawah kanun yang sama pada 23 Disember lalu.
Majistret menetapkan 18 Februari depan untuk membuat keputusan tarikh perbicaraan bagi sembilan aktivis pembangkang itu. Sebelum ini mahkamah menetapkan tarikh 14 hingga 19 April depan untuk tujuh orang daripada mereka yang didakwa bulan lalu.
Ezam dan Azmin dibenarkan diikat jamin RM5,000 setiap seorang.
