malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Takiyuddin: Kerajaan belum putuskan kaedah sidang parlimen
ADS

Kaedah persidangan parlimen belum diputuskan kerajaan sama ada akan berlangsung secara fizikal atau hibrid, kata Menteri Undang-undang di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan.

Menurutnya, cadangan agar kaedah hibrid dilaksanakan adalah pilihan sekiranya parlimen tidak boleh bersidang secara fizikal.

"Bagaimanapun speaker baru mencadangkan kaedah hibrid kepada kerajaan dan kita belum memutuskan parlimen bersidang guna kaedah mana.

"Parlimen dijangka bersidang akhir Ogos atau awal September sebagaimana kenyataan yang dikeluarkan speaker (Dewan Rakyat) kelmarin," katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Perniagaan Cina Kelantan, Kota Bharu, hari ini.

Jelas anggota parlimen Kota Bharu itu, kaedah hibrid adalah membabitkan sebahagiannya hadir secara fizikal dalam jumlah tertentu, manakala yang selebihnya hadir secara maya.

Sementara itu Takiyuddin berkata, mengikut undang-undang, notis untuk persidangan parlimen akan dibuat selepas tamat Ordinan Darurat dan 28 hari sebelum parlimen bersidang.

Tegasnya, Ordinan Darurat tamat pada 1 Ogos dan selepas itu barulah parlimen boleh berkuatkuasa semula.

"Bila tarikh parlimen bersidang, itu bergantung kepada perdana menteri kerana beliau akan menentukan.

"Perdana menteri akan memaklumkan kepada speaker untuk keluarkan notis kepada ahli parlimen dalam tempoh 28 hari sebelum parlimen bersidang," katanya.

Lihat Komen