malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Duta nafi dakwaan KJ - 'EU bolot, vaksin tak cukup'
Diterbitkan:  Jun 23, 2021 10:27 AM
Dikemaskini: 4:22 AM
ADS

  • Artikel ini dikemas kini dengan menambah latar belakang tentang pembolotan vaksin dan pembelian vaksin oleh EU dan Malaysia.

Kesatuan Eropah (EU) hari ini menafikan tuduhan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick), Khairy Jamaluddin bahawa blok itu membolot vaksin Covid-19.

Menurut Khairy pada 21 Jun lalu, kerajaan tidak dapat membuka pusat pemberian vaksin (PPV) mega lebih awal bagi mempercepat pemvaksinan penduduk berikutan bekalan vaksin ketika itu tidak mencukupi.

Duta EU ke Malaysia Michalis Rokas berkata, dakwaan tersebut adalah tidak berasas sama sekali, sebaliknya berkata EU amat prihatin dalam isu berkenaan.

“Untuk makluman anda, segala permintaan daripada kerajaan Malaysia berhubung agihan vaksin ke negara ini sudah pun diluluskan tanpa masalah oleh Sekretariat EU,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran Program Sokongan Respons Covid-19 Asean-EU kelolaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di negara ini, seperti dipetik Kosmo Online.

Berdasarkan laporan Bernama, Rokas dilaporkan berkata EU telah meluluskan eksport kira-kira lima juta dos vaksin Covid-19 bagi membantu Malaysia mempercepatkan Pick.

Duta EU ke Malaysia Michalis Rokas.

Menurutnya, jumlah sehingga 15 Jun menunjukkan sejumlah 4.87 juta dos Pfizer-BioNTech dan 560,000 dos AstraZeneca telah dihantar ke Malaysia dan ia diperolehi menerusi skim Akses Global Vaksin Covid-19 (Covax).

“Kesemua eksport yang diminta oleh Malaysia telah diluluskan segera, iaitu dalam tempoh dua ke tiga hari dan telah diberikan kelonggaran atas sebab kecemasan pandemik,” katanya.

Rokas berkata demikian, sehari selepas Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi mengeluarkan kenyataan membidas ketidakadilan bekalan vaksin dan tindakan negara-negara yang katanya membolot bekalan vaksin Covid-19.

Mengulas artikel ulasan Utusan Malaysia yang membandingkan program vaksinasi antara Malaysia dan Hungary, Khairy mendakwa negara-negara EU membolot bekalan vaksin, berkali ganda lebih banyak berbanding jumlah rakyat.

“Adakah anda sedar Hungary adalah sebahagian daripada EU? Dan EU telah berunding dengan pembekal vaksin secara pukal dengan kuasa pembeli EU.

“Dan juga antara kilang-kilang yang mengeluarkan vaksin berada di EU, jadi mereka telah membolot vaksin dengan lebih awal lagi.

“Sedangkan negara-negara Asia termasuklah negara Jepun - negara yang sudah maju - sangat terkebelakang berbanding dengan negara-negara EU, Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada, dan sebagainya,” katanya.

'Pembelian terus negara kaya jejaskan Covax'

Disember lalu, People's Vaccine Alliance berkata negara-negara kaya membolot vaksin Covid-19, dengan membeli lebih stok daripada yang mereka perlukan.

Negara-negara kaya yang terdiri daripada 14 peratus populasi dunia, membeli sehingga 53 peratus bekalan vaksin, kata perikatan pertubuhan tersebut, termasuk Oxfam dan Amnesty International.

Satu kajian daripada Universiti Duke turut melihat perjanjian antara negara-negara kaya dengan pengeluar vaksin, disebut perjanjian pembelian awal, menjejaskan rancangan Covax untuk pengagihan vaksin yang adil.

Para pengkaji mendapati negara-negara seperti Kanada dan United Kingdom menempah bekalan vaksin yang lebih daripada cukup untuk meliputi keseluruhan populasi sementara EU membeli beratus juta dos.

Kebanyakan vaksin yang diberikan di Kawasan Ekonomi Eropah adalah daripada Pfizer-BioNTech.

Suruhanjaya Eropah pada April berkata lebih 80 juta dos vaksin Pfizer-BioNTech telah diberikan di EU.

Ia turut menandatangani perjanjian dengan Pfizer-BioNTech untuk penghantaran 1.8 bilion dos antara 2021 dan 2023.

Berbeza dengan trend EU, di Hungary pula, 36 peratus vaksin yang diberikan adalah daripada Sinopharm berbanding 32 peratus daripada Pfizer-BioNTech.

Bulan lalu, Hungary menarik diri daripada perjanjian EU dengan Pfizer-BioNTech, dan lebih memilih untuk membeli daripada sumber-sumber yang lain.

KJ: Tempahan Malaysia tertangguh

Sebelum ini, Khairy mendedahkan bahawa Malaysia mengalami kelewatan bekalan, termasuk 2.5 juta dos vaksin yang kini dijangka tiba bermula Julai ke hadapan.

Dos-dos itu termasuklah dua juta daripada Pfizer-BioNTech dan 500,000 daripada Sinovac, kata Khairy dalam satu sidang media pada Mei.

Malaysia juga masih menunggu 6.4 juta dos yang dibeli daripada AstraZeneca, sebagai tambahan kepada vaksin AstraZeneca yang diterima menerusi fasiliti Covax, kata Khairy.

Khairy turut memberi jaminan bahawa Malaysia akan mempunyai bekalan yang cukup untuk memastikan 80 peratus populasi negara divaksin menjelang Oktober. 

Sementara itu, pada acara maya semalam, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata Malaysia akan bekerjasama dengan EU dalam bidang penyelidikan dan pembangunan.

Jelas Adham, tumpuan akan diberikan terhadap pengurusan dan tindak balas Covid-19, selain menguatkan kesiapsiagaan kecemasan dan kapasiti sistem keselamatan secara keseluruhan.

Turut hadir pada acara maya itu adalah wakil WHO di Malaysia, Brunei, dan Singapura Dr Lo Ying-Ru Jacqueline; serta pegawai teknikal dan pengurusan program, pejabat wakil WHO ke Malaysia, Brunei dan Singapura Dr Paul Soo. 

Lihat Komen