malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ummah mohon maaf 'tersalah masuk' NGO sokong kekal darurat
Diterbitkan:  Jun 18, 2021 12:08 PM
Dikemaskini: 12:08 PM
ADS

Gerakan Pembela Ummah (Ummah) hari ini memohon maaf secara terbuka dan menjelaskan 'kekeliruan' berhubungan senarai 440 NGO Melayu Islam yang didakwa bersama mereka menyokong darurat dilanjutkan selepas 1 Ogos.

Turut memohon maaf berhubung laporan sokongan 440 NGO itu ialah editorial harakahdaily yang menyiarkan kenyataan media dikeluarkan Ummah.

Pengerusi Ummah Mohd Zai Mustafa menjelaskan bahawa kenyataan berkenaan dikeluarkan sebelum Raja-raja Melayu mengadakan pertemuan khas di Istana Negara pada 16 Jun.

“Kepada mana-mana NGO yang tersalah masuk pihak kami telah keluarkan daripada senarai, dan pihak kami memohon maaf di atas kesilapan yang sangat tidak disengajakan.

"Pihak Ummah juga telah mengeluarkan senarai baru yang telah dikemaskinikan.

"Semoga dengan pembetulan ini dapat memberi pencerahan kepada semua pimpinan NGO yang terlibat," katanya seperti dilaporkan harakahdaily

Untuk rekod semakan pada laporan berita tersebut yang dibuat pada awal malam ini mendapati pautan berkenaan sudah tidak dapat diakses lagi.

Tak mahu masuk campur

Pada 16 Jun lalu harakahdaily yang merupakan lidah rasmi PAS menyiarkan laporan bertajuk 440 NGO Islam Sokong Tempoh Darurat Dikekalkan.

Ia memetik kenyataan Mohd Zai yang menyokong saranan pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Prof Madya Muhammad Fathi Yusof yang berpendapat dalam situasi negara dilanda Covid-19 sekarang, ia adalah "sesuatu yang amat perlu."

Mengiringi laporan tersebut ialah senarai 440 NGO yang didakwa Ummah bersama dengan mereka dalam pendirian tersebut.

Bagaimanapun sejak semalam beberapa NGO yang disenaraikan tampil menyatakan kekesalan apabila nama pertubuhan mereka digunakan Ummah tanpa kebenaran.

Antara NGO yang tampil menafikan perkara itu ialah Sekretariat Aid4Palestine (Aid4Palestine), Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), Multiracial Reverted Muslims (MRM), Ikatan Muslimin Malaysia dan Al-Quds Foundation Malaysia.

Jurucakap Aid4Palestine Dr Suhazeli Abdullah yang menegaskan badan itu tidak mempunyai kecenderungan politik terhadap mana-mana pihak.

Presiden PCOM, Muslim Imran, juga tampil menafikan pertubuhan itu menyokong kenyataan dan pendirian Ummah berhubung darurat.

"PCOM tidak masuk campur dalam politik domestik Malaysia atau negara lain. Kami menghormati semua pihak tetapi tidak berminat untuk campur tangan dalam politik tempatan," katanya.

Pendakwah bebas, Firdaus Wong, pula menafikan MRM terbabit dengan kenyataan itu.

Mukhriz Mahathir

"Saya mohon Gerakan Pembela Ummah & @harakahdailyHD keluarkan nama Al-Quds Foundation Malaysia dari senarai NGO Islam yang kononnya sokong darurat dikekalkan.

"Jangan tipu rakyat. #KerajaanGagal," kata bekas menteri besar Kedah, Mukhriz Mahathir malam semalam di media sosial.

Mohd Zai berkata jika terdapat kekeliruan dan manipulasi daripada pihak tertentu sehingga mengheret Ummah ‘menderhaka’, dia berharap kenyataan yang dibuat itu diteliti terlebih dulu.

Katanya, Ummah sudah menyembah maklum akan rasa gembira dan terima kasih mereka kepada Yang di-Pertuan Agong atas cadangan dan keputusan yang bijaksana kepada kerajaan bagi menangani pandemik Covid-19.

“Semoga hubungan di antara NGO dapat dijernihkan semula bagi menjadi kumpulan third force (kuasa ketiga) dan check and balance (semak dan imbang) yang berkesan serta bermanfaat kepada negara,” ujarnya.

Ummah juga katanya mengalu-alukan jika ada NGO yang ingin mendapatkan penjelasan terperinci dan permohonan maaf secara langsung daripada mereka.

Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen