Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, hari ini sekali lagi berkongsi tangkap layar salah seorang pengguna media sosial yang mendakwa telefon pintar yang dibekalkan kerajaan kepada pelajar tidak sampai sebulan lalu, terbakar ketika digunakan.
“My sister punya dah selamat dah. Masa tengah charge kot meletop,” menurut statuts yang dikongsi semula oleh bekas menteri belia dan sukan itu.
Susulan itu, Syed Saddiq berkata dia kesal dengan sikap ahli politik yang ambil mudah dalam usaha kerajaan mengedarkan telefon pintar kepada pelajar.
"Inilah yang jadi bila ada ahli politik ambil mudah dan beri telefon tak berkualiti kepada pelajar.
"Kes telefon meletup ini dah jadi dekat beberapa orang pelajar. Bahaya betul.
“Nak bandingkan ayam, sardin dan pendidikan pelajar lagi tak macam ni?
"Melampau sangat dah ni. Ahli politik jangan sombong dan terima kenyataan - beri telefon berkualiti kepada pelajar," kata Syed Saddiq di Facebook.
Menurut Syed Saddiq, kejadian itu juga bukan kali pertama dilaporkan berlaku dan dengan apa yang terjadi jelas menyukarkan pelajar.
"Sekarang bila dah jadi macam ini, pelajar tak dapat masuk kelas dalam online, telefon dan tak boleh pakai," soalnya.
Sebelum ini, Syed Saddiq mengkritik kerajaan negeri Perak kerana tidak menyediakan peranti yang lebih berkualiti untuk keperluan pelajar.
Syed Saddiq juga dilaporkan menggesa kerajaan mengutamakan aspek kualiti kerana pelajar akan menggunakan aplikasi yang memerlukan ruang peranti besar untuk melaksanakan sesi PdPR.
Terdahulu, kerajaan Perak dikritik hebat selepas mengedarkan sejumlah 20,000 telefon pintar yang didakwa tidak sesuai untuk pembelajaran dalam talian kepada pelajar.
Telefon tersebut disumbangkan Yayasan YTL dan dikenal pasti sebagai model YES Altitude 3. Antara spesifikasinya ialah skrin 5 inci, resolusi 854x480 piksel, pemproses 1.3GHz, 1GB RAM dan 8GB storan.
Peranti itu diagihkan secara percuma kepada pelajar daripada keluarga B40 di bawah inisiatif "Tuisyen Cikgu Saarani" oleh kerajaan negeri.
Mempertahankan sumbangan itu, Saarani berkata orang ramai tidak boleh terlalu memilih.
YTL Communications semalam berkata mereka memandang serius laporan telefon subsidi terbakar ketika kelas dalam talian dan akan melakukan penyiasatan menyeluruh berkenaan insiden itu.
Kata ketua pegawai eksekutifnya, Wing K Lee, setakat ini, pihaknya belum menerima laporan tentang isu keselamatan berhubung telefon pintar berkenaan yang dibangunkan secara bersama untuk tujuan pendidikan antara YES dan China Mobile - operator rangkaian terbesar di dunia.
Tahan 3 hari saja, dakwa warga maya
Sementara itu, seorang pengguna Twitter menyuarakan kekecewaannya apabila telefon yang diterimanya hanya bertahan tiga hari.
"Apply phone free dari goverment untuk kegunaan adik aku PDPR, RAM GB battery 2,000mah.
"Baru pakai tak sampai tiga hari simcard tak boleh baca, telefon jadi panas nak mampus dengan lagging (perlahan). Nak bersyukur macam mana sekarang? soal pemilik akaun @ashhhwily di Twitter.
‘Telefon anak saya juga’
Sementara itu, seorang pengguna akaun Facebook Suryani Abd Ghani turut mendakwa menerima nasib yang sama apabila telefon pintar anaknya tiba-tiba meletop.
Bagaimanapun, dia bersyukur kerana ada sebuah syarikat telefon yang menghulurkan bantuan.
Namun, Suryani berkata apa yang dikongsikan pihaknya sebelum ini bukanlah untuk menagih simpati mahu pun meminta pihak terlibat menggantikan semula peranti terbabit.
Sebaliknya dia berkata apa yang dikongsikannya itu hanyalah sekadar peringatan kepada semua pihak bahaya peranti berkenaan.
"Saya perhatikan ada segelintir netizen mengatakan saya meraih simpati. Itu bukan niat saya. Hanya sekadar berkongsi pengalaman, semoga semua sedar yang isu ini membahayakan kanak-kanak,” katanya.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklumat lanjut daripada pengguna maya yang memuat naik dakwaan itu.