malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Titah Agong selari dengan usaha kerajaan - PAS
Diterbitkan:  Jun 18, 2021 1:37 PM
Dikemaskini: 8:55 AM
ADS

  • Dikemas kini dengan status terkini media sosial Istana Negara.

PAS melihat titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung persidangan parlimen selaras dengan usaha dilakukan kerajaan buat masa ini.

Timbalan presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS menjunjung titah pandangan tuanku agar kerajaan segera mengadakan sidang Parlimen, selain isu-isu lain yang dibangkitkan Agong dalam kenyataan Rabu lalu.

“PAS juga meyakini bahawa titah pandangan baginda tuanku berkenaan sidang parlimen adalah selaras dengan komitmen kerajaan untuk mengadakan sidang parlimen sebagaimana juga yang dinyatakan oleh perdana menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air itu berkata, pendekatan Agong mendengar pandangan pemimpin parti politik dan agensi kerajaan, menunjukkan baginda mengambil perhatian akan situasi Covid-19 dan menjadi bukti institusi raja-raja Melayu sebagai payung rakyat tanpa mengira agama atau fahaman politik.

Selain isu parlimen, isu lain dalam kenyataan Agong yang dibangkitkan Tuan Ibrahim ialah semua pihak harus mengurangkan politiking dan memberikan fokus menghadapi Covid-19, menjaga kebajikan rakyat, mempercepat pemberian vaksin, kepentingan kerajaan yang stabil, berfungsi dan berkesan menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Semua hal itu, kata PAS, juga selaras dengan usaha kerajaan.

“PAS melihat perkara ini adalah selaras dengan usaha yang sedang giat dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan ketika ini,” katanya lagi.

Agong mempengerusikan perbincangan khas raja-raja Melayu di Istana Negara pada Rabu, selepas sebelum itu mengadakan pertemuan dengan pemimpin parti-parti politik utama negara, agensi kerajaan serta pakar-pakar.

Kenyataan Istana Negara selepas pertemuan itu, menyatakan bahawa baginda berpandangan bahawa sidang parlimen perlu diadakan secepat mungkin, dengan menyifatkan Parlimen sebagai satu platform penting untuk wakil rakyat bersidang membincangkan pelbagai isu khususnya Covid-19.

Agong turut mengulas isu vaksin, pentadbiran kerajaan yang stabil serta isu ekonomi, seperti yang diperkatakan Tuan Ibrahim.

Pada hari sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan mengulas kenyataan istana, berkata meskipun Agong menyebut Parlimen perlu bersidang secepat mungkin dalam kenyataan Istana Negara, tidak menitahkan bila tarikh tepat untuk itu.

Ini mengundang kritikan banyak pihak, dengan ada yang menyifatkan Takiyuddin derhaka serta mahu berdolak-dalih.

Ia juga mengundang perdebatan hangat di media sosial

Status media sosial istana

Pagi tadi, Istana Negara memuat naik satu hantaran poster di media sosial, memetik semula kenyataan pada Rabu (16 Jun) bahawa Agong berpandangan bahawa parlimen perlu bersidang secepat mungkin.

Selain satu dua perkataan, tidak ada perubahan pada kenyataan tersebut seperti yang dimuat naik sebelum ini. Cuma kali ini, petikan “parlimen perlu diadakan secepat mungkin” ditulis dengan format tebal.

“Setelah memperhalusi semua pandangan para pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar dari agensi-agensi kerajaan maka Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

"Ini untuk membolehkan ordinan-ordinan darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat," tulis hantaran berkenaan yang turut memaparkan gambar Sultan Abdullah bersama petikan berkenaan.

Bagaimanapun, setelah meraih ribuan reaksi, komen dan perkongsian oleh warga maya hanya kurang sejam dimuat naik, hantaran itu didapati telah dipadam tidak lama kemudian.

Ia kemudian dinaikkan semula, tanpa menggunakan tulisan format tebal seperti sebelum ini.

 Najib juga padam ulasan

Bekas perdana menteri, Najib Razak sempat mengulas hantaran poster Istana Negara itu, dan menyifatkan ibarat “isyarat” daripada istana, bahawa “secepat mungkin” tidaklah membawa maksud tiga atau empat bulan lagi.

“Entahlah sekiranya mereka masih tak faham atau sengaja buat-buat tak faham,” katanya.

Hantaran itu juga dipadam Najib tidak lama kemudian.

Najib Razak 

Antara pihak yang lagi tampil mengulas kenyataan Takiyuddin ialah speaker Dewan Rakyat Azhar Harun; timbalan speaker Dewan Rakyat, Azalina Othman; dan bekas speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof.

Azhar dilaporkan berkata bahawa perdana menteri telah membuat komitmen untuk mengadakan sidang parlimen pada September atau Oktober, manakala timbalan Azalina mempertikai cara kerajaan menguruskan pandangan Agong dan Majlis Raja-Raja.

Azalina mempersoalkan apakah negara sedang berdepan krisis perlembagaan.

Mohamad Ariff pula berpendirian bahawa kerajaan perlu menasihati Agong untuk memanggil sidang parlimen sebelum tamat darurat, berdasarkan kenyataan jelas Agong bahawa parlimen ialah platform penting membincangkan ordinan-ordinan darurat dan Pelan Pemulihan Negara.

Lihat Komen