malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemuda curi pakaian wanita untuk naikkan syahwat ditahan polis
Diterbitkan:  Jun 17, 2021 11:05 AM
Dikemaskini: 11:05 AM
ADS

Polis menahan seorang pemuda yang didapati menjalankan aktiviti mencuri pakaian wanita untuk dijadikan 'penaik nafsu syahwat'.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, penahanan lelaki berusia 23 tahun itu dibuat selepas menerima laporan seorang wanita.

Katanya, pengadu melihat suspek berlegar-legar sekitar ruangan lif aras rumahnya di sebuah kondominium di Bandar Sunway, sekitar jam 10.30 pagi, semalam.

"Pengadu mengesyaki lelaki tersebut adalah individu yang terlibat susulan kehilangan pakaian miliknya sebelum ini.

"Suspek telah mengakui di hadapan suami pengadu dan pihak pengurusan kondominium bahawa dia mencuri pakaian wanita lalu menunjukkan tempat simpanan pakaian yang dicurinya iaitu di dalam bilik tidur rumahnya di kondominium sama.

"Bertindak atas aduan pengadu, pada hari yang sama jam lebih kurang 12.15 tengah hari, sepasukan polis dari Balai Polis Sungai Way telah menahan suspek yang dan merampas sebanyak 58 pakaian wanita pelbagai jenama serta sebatang kayu yang diubahsuai dipercayai telah digunakan semasa kejadian," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohamad Fakhruddin berkata, suspek ditahan reman selama empat hari dan kes disiasat di bawah seksyen 457 kanun keseksaan.

"Namun begitu suspek akan dituduh di bawah seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 di Mahkamah Majistret Petaling Jaya esok kerana gagal memberi keterangan.

"Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dihukum denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen