malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Agong tak titahkan parlimen bulan berapa, tapi secepat mungkin - Takiyuddin
Diterbitkan:  Jun 17, 2021 8:19 AM
Dikemaskini: 12:37 AM
ADS

Parlimen akan bersidang semula tidak lama lagi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan.

Namun, katanya, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah tidak menitahkan bilakah tarikh yang tepat untuk Dewan Rakyat bersidang.

"Agong pun tidak menitahkan bulan berapa, tetapi secepat mungkin.

"PM kita katapun bulan 9 atau 10, sekarang kita dah hampir penghujung bulan 6, bulan 7,8,9 pasti akan diadakan tu," katanya semasa program Bicara Harakah yang disiarkan secara langsung menerusi media sosial semalam.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan istana semalam, Agong menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin setelah memperhalusi semua pandangan pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar dari agensi-agensi Kerajaan

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin baru-baru ini berkata parlimen boleh dibuka semula apabila pelan pemulihan negara berkaitan Covid-19 memasuki fasa ketiga.

Peralihan ke fasa ketiga akan dibuat selepas purata kes harian tidak lebih 2,000, kapasiti unit rawatan rapi (ICU) mencukupi dan 40 peratus rakyat Malaysia mendapat dos vaksin penuh.

Ia dijangka dapat dicapai pada bulan September.

Parlimen digantung sejak pengisytiharan darurat berkuatkuasa pada 11 Januari. Ia akan berakhir pada 1 Ogos, bergantung pada nasihat jawatankuasa bebas sekiranya darurat boleh berakhir lebih awal.

Tumpuan kepada Covid-19

Sementara itu, Takiyuddin berkata apabila parlimen bersidang semula, Ahli Parlimen perlu menumpukan perhatian kepada isu berkaitan Covid-19.

Katanya, Agong menitahkan supaya kerajaan memberikan perhatian kepada exit strategi atau pelan pemulihan seperti yang diumumkan Muhyiddin.

"Begitu juga seruan, titah agong mengenai peranan MP. Jadi parlimen ini penting untuk bincang perkara-perkara yang berkaitan Covid. Tuanku tak titah dengan perkara lain," katanya.

Dalam wawancara malam tadi, Takiyuddin juga mengupas mengenai parlimen Hibrid yang sedang diteliti kerajaan ketika ini.

Takiyuddin berkata, kaedah itu memerlukan Perintah Tetap parlimen dipinda untuk membolehkan pertemuan fizikal dan maya apabila Dewan Rakyat bersidang semula.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen