malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Murid terkejut telefon pintar subsidi terbakar ketika kelas dalam talian
ADS

Seorang murid berusia sembilan tahun dikejutkan apabila telefon subsidi yang diterima menerusi program Jaringan Prihatin terbakar ketika dia mengikuti kelas dalam talian pada Isnin lalu.

Ibu saudara kanak-kanak lelaki itu, Suryani Abd Ghani kemudian menyuarakan kekecewaannya di Facebook.

"Nasib baik kami ada di rumah, kalau tidak mungkin rumah sudah terbakar," katanya.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Suryani menjelaskan dia sendiri melihat insiden itu, yang berlaku di rumah mereka di Gombak.

"Saya berada di depan dia. Saya menggigil ketakutan. Ia berlaku kira-kira jam 930 pagi ketika kelas pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

"Anak saya jadi pucat dan terus lari. Saya juga pakai telefon tapi tak pernah jadi macam ini. Mujurlah tiada yang cedera," katanya.

Sesi persekolahan diteruskan minggu ini tetapi masih dibuat secara dalam talian susulan penguatkuasaan sekatan pergerakan penuh.

Golongan berpendapatan rendah menerima kesan terbesar apabila sesetengahnya tidak mampu untuk mendapatkan peranti atau akses internet.

Untuk mengatasi masalah itu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan program Jaringan Prihatin bernilai RM3.5 bilion yang menyasarkan golongan isi rumah berpendapatan rendah.

Di bawah program ini, mereka yang layak akan diberi subsidi RM300 untuk peranti atau rebat RM180 untuk pelan data sepanjang 12 bulan.

Mereka boleh menambah duit sendiri jika ingin membeli peranti dengan harga melebihi RM300.

Suryani yang merupakan guru tadika berkata, suaminya membantu anak saudara mereka untuk memohon peranti di bawah program itu tetapi tidak menambah wang sendiri kerana mengambil kira keadaan kewangan mereka.

"Kami mohon telefon pintar untuk dia kerana laptop yang dia guna sudah lama dan perlahan," katanya.

Bagaimanapun, dia berkata telefon tersebut cepat panas dan baterinya tidak bertahan dengan lama.

"Jika nak bagi telefon percuma, janganlah macam ini sebab bahaya," katanya sambil menjelaskan telefon itu tidak dicas ketika kejadian berlaku.

Pemeriksaan di internet mendapati telefon pintar itu berharga bawah RM200 jika dibeli menerusi satu promosi pelan data.

Insiden itu menarik perhatian bekas menteri belia dan sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengecam kerajaan kerana membenarkan telefon "berkualiti rendah" diagihkan.

Telefon itu juga sama dengan yang diagihkan oleh kerajaan Perak. Program kerajaan negeri itu menyasarkan agihan sebanyak 20,000 telefon pintar kepada pelajar untuk tujuan pembelajaran.

Ia mengundang kecaman selepas Exco Pendidikan Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud mengakui kemampuan telefon tersebut hanya untuk pembelajaran.

"...Sekiranya pelajar merungut telefon diberikan ini perlahan atau kualitinya tidak baik, saya percaya mungkin pelajar menggunakannya untuk bermain game dalam talian dan sebagainya memandangkan prestasi peranti ini sememangnya akan terjejas jika dipasang dengan aplikasi berat seperti game'" katanya seperti dipetik Harian Metro dua hari lalu.

Namun bagi Syed Saddiq, rasional seperti itu menunjukkan prasangka buruk terhadap pelajar.

"Bagi telefon kualiti rendah sebab buruk sangka dengan pelajar kononnya mahu elak mereka main game.

"Akhirnya, telefon rosak. Yang susah, pelajar.

"Belanjalah lebih sedikit untuk pendidikan mereka. Kerajaan ada wang, guna untuk pelajar," katanya di Twitter.

 

Lihat Komen