malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MP PKR lihat ada kemungkinan PH kerjasama dengan Umno
ADS

Ahli Parlimen PKR Abdullah Sani Abdul Hamid melihat kemungkinan kerjasama antara PH dan Umno pada masa akan datang.

Abdullah berkata, kemungkinan itu sesuatu yang perlu diambil kira, jika Umno akhirnya keluar daripada Perikatan Nasional (PN).

"Lepas Parlimen bersidang, langkah seterusnya ialah cari keabsahan," katanya kepaa Malaysiakini.

Oleh itu, ahli Parlimen Kapar itu berkata PH kemungkinan akan perlu berunding dengan Umno.

Katanya lagi, kedua-dua pihak boleh bersama-sama membentuk kerajaan atau seperti yang dicadangkan di Perak sebelum ini, iaitu rundingan perjanjian keyakinan dan pembekalan (confidence and suppy agreement, CSA).

"Apa yang berlaku di Perak - itulah yang dimaksudkan dengan jajaran baru."

Abdullah berkata dia tidak kisah sama ada Umno menyokong kerajaan baru mahupun menjadi sebahagian daripadanya, dan berharap DAP juga tidak akan ada masalah dengannya.

"Kita mahu bangunkan negara. Saya hargai jika DAP dan Umno dapat bekerja bersama," katanya lagi.

Kenyataan itu susulan DAP yang keberatan untuk bekerjasama dengan Umno, terutama dengan sejumlah pemimpin Umno yang sedang berdepan dakwaan rasuah.

Semalam, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dipetik Mingguan Malaysia sebagai berkata, pendekatan "khemah besar" adalah untuk menyatukan pembangkang, bukannya tentang kerjasama dengan Umno.

Lim Guan Eng

Katanya, soal kerjasama dengan Umno hanyalah pandangan PKR manakala bagi PH, ia untuk menyatukan semua parti pembangkang dan mana-mana ahli Parlimen kerajaan yang sedia melawan perdana menteri dan menamatkan darurat dengan segera.

Terdahulu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution ketika membangkitkan soal "khemah besar" itu berkata, PH boleh bekerjasama dengan mana-mana parti, termasuk Umno, jika mereka menerima agenda reformasi.

Sekutu PKR dalam PH, iaitu DAP dan Amanah, turut menggesa konsep itu tetapi dengan pendekatan berbeza - bersama-sama dengan parti pembangkan lain seperti Warisan, Upko, Pejuang dan Muda.

Bagaimanapun, Abdullah menekankan dalam politik, tiada yang kekal sebagai kawan atau musuh.

Katanya, kerjasama dengan Umno boleh dibuat menerusi rundingan, selepas darurat tamat pada Ogos ini atau sebelum PRU akan datang.

Dia juga tidak menolak parti pembangkang lain untuk menjadi sebahagian daripada aturan itu.

Dia juga menegaskan itu hanyalah pandangan peribadinya tetapi menekankan yang ia selaras dengan kenyataan Presiden PKR Anwar Ibrahim.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen