malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Kenyataan Takiyuddin hina Jawatankuasa Khas Bebas Darurat'
Diterbitkan:  Jun 13, 2021 11:55 AM
Dikemaskini: 3:57 AM
ADS

Kenyataan Menteri Undang-Undang, Takiyuddin Hassan bahawa jemaah menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong sama ada proklamasi darurat perlu dilanjutkan atau tidak adalah penghinaan terhadap Jawatankuasa Khas Bebas Darurat.

Susulan pendirian tersebut, anggota Jawatankuasa Khas Bebas Darurat, Noh Omar mempersoalkan peranan jawatankuasa bebas yang dibentuk dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong itu.

"Bagi saya ini satu penghinaan kepada saya sebagai ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agung .

"Kalau Yang di-Pertuan Agung bertindak untuk sambung atau tamatkan darurat atas nasihat kabinet, soalan saya kepada menteri kenapa melantik kami dan sekarang menafikan peranan kami semua?

"Adakah menteri merujuk kepada kenyataan perdana menteri mengenai peranan jawatankuasa bebas darurat? Saya minta Menteri jelaskan apa sebenarnya peranan Jawatankuasa bebas darurat ini?," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Semalam, Takiyuddin berkata jemaah menteri bertanggungjawab untuk memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong sama ada darurat perlu dilanjutkan atau tidak.

Takiyuddin berkata demikian sebagai respon kepada laporan yang memetik Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah bahawa hanya Yang di-Pertuan Agong mempunyai budi bicara mengenai tempoh darurat.

Noor Hisham dipetik Malay Mail semalam sebagai berkata bahawa setelah darurat ditamatkan, tiada apa-apa yang akan dapat menghalang tiga pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri Sarawak.

Mengulas mengenai laporan itu, Takiyuddin mengatakan bahawa Agong bertindak atas nasihat kabinet mengikut Perlembagaan Persekutuan ketika darurat diisytiharkan pada bulan Januari - bagi menangani Covid-19.

'Menteri buat keputusan sesuka hati'

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail turut senada dengan Noh yang mengatakan kenyataan Takiyuddin merupakan penghinaan kepada jawatankuasa bebas berkenaan.

"Kalau Yang di-Pertuan Agung bertindak untuk sambung atau tamatkan darurat atas nasihat kabinet, soalan saya kepada menteri kenapa melantik kami dan sekarang menafikan peranan kami semua?" katanya dalam kenyataan.

Saifuddin berkata berkata berdasarkan Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, kuasa untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong kini di bawah jawatankuasa bebas.

Katanya, berdasarkan peruntukan itu, tanggungjawab jawatankuasa itu cukup spesifik iaitu “menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat atau penamatannya”.

"Berdasarkan Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 ini diperuntukkan penubuhan jawatankuasa Khas Bebas Darurat. Dengan penubuhan ini kerajaan telah membuat pengecualian untuk Jawatankuasa ini menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai darurat berbanding dalam keadaan biasa peranan menasihati ini adalah peranan Jemaah Menteri.

"Jawatankuasa ini memikul tanggungjawab yang sangat jelas dan spesifik iaitulah “menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat atau penamatannya.

"Sehingga sekarang Jawatankuasa Khas Bebas Darurat ini masih wujud dan berfungsi menjalankan tugas dengan matlamat akhirnya mempersembahkan laporan kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong," kata Saifuddin.

Oleh itu katanya, kenyataan Takiyuddin amat mengelirukan sekali gus menimbulkan beberapa persoalan tentang fungsi jawatankuasa khas berkenaan.

"Mengapa menteri-menteri PN suka buat kenyataan yang bercanggah dan flip flop yang boleh mengelirukan rakyat?

"Saya fikir mungkin kerana Parlimen tidak dibenarkan bersidang maka tidak ada semak dan imbang dan menteri boleh membuat keputusan sesuka hati sahaja," katanya.

Lihat Komen