malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kabinet nasihat Agong isu darurat, kata menteri pada KP Kesihatan
Diterbitkan:  Jun 12, 2021 5:52 PM
Dikemaskini: 12:02 PM
ADS

Kabinet bertanggungjawab untuk memberi nasihat kepada Yang di Pertuan Agong sama ada darurat perlu dilanjutkan atau tidak, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan.

Takiyuddin berkata demikian sebagai respons kepada laporan yang memetik Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah bahawa hanya Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai budi bicara mengenai tempoh darurat.

Noor Hisham dipetik dalam laporan Malay Mail semalam sebagai berkata bahawa setelah darurat ditamatkan, tiada apa-apa yang akan dapat menghalang tiga pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri Sarawak.

Mengulas mengenai laporan itu, Takiyuddin mengatakan bahawa Agong bertindak atas nasihat kabinet mengikut Perlembagaan Persekutuan ketika keadaan darurat diisytiharkan pada bulan Januari - bagi menangani Covid-19.

"Oleh yang demikian, persoalan mengenai sama ada darurat yang akan tamat pada tarikh tersebut (1 Ogos) diteruskan atau tidak atas

budi bicara KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Baginda sepertimana yang dibangkitkan tidak seharusnya timbul," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"...adalah menjadi tanggungjawab jemaah menteri untuk terus menasihati KDYMM Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong selaku Ketua Utama Negara dalam membuat sesuatu keputusan mengenai kedudukan tempoh darurat.

"Ia setelah mengambil kira semua keadaan semasa serta faktor-faktor berkaitan termasuk keselamatan orang ramai, aspek sosial dan ekonomi negara," tambahnya.

Penangguhan pilihan raya adalah salah satu sebab yang dinyatakan untuk pengisytiharan darurat.

Ini selepas pilihan raya negeri Sabah tahun lalu menyumbang kepada gelombang ketiga jangkitan Covid-19.

Kerajaan ketika ini sedang berusaha untuk mempercepat proses vaksinasi di Sarawak untuk mengelakkan kejadian serupa berulang.

Agong telah bertemu dengan para pemimpin politik untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai pandemik Covid-19, dan akan mengadakan Persidangan Majlis Raja-Raja pada hari Rabu.

Lihat Komen