malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemuda Ikatan gesa kerajaan tukar strategi penguatkuasaan PKP
Diterbitkan:  Jun 12, 2021 2:10 PM
Dikemaskini: 7:02 AM
ADS

Kerajaan digesa menukar strategi sekatan pergerakan bagi menurunkan kes Covid-19 ke bilangan dua angka, menurut Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) Shahir Adnan.

Saranan itu hadir susulan keputusan kerajaan melanjutkan sekatan pergerakan penuh di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) - yang berkuatkuasa 1 Jun hingga 14 Jun - selama dua minggu lagi iaitu sehingga 28 Jun.

Dia berkata pelaksanaan sekatan pergerakan penuh selama dua minggu ini mempunyai kelompongan dan "strategi salah" apabila lebih 120,000 syarikat mendapat kelulusan beroperasi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

Dalam kenyataannya hari ini, Shahir membangkitkan daripada 16 kluster baru yang dikenal pasti semalam, 12 adalah kluster tempat kerja.

“DPIM menyarankan kerajaan untuk mengubah strategi PKP lanjutan ini untuk mendapatkan keputusan yang dikehendaki - menurunkan kes harian Covid-19 daripada 5,000 kes ke atas kini kepada dua angka.

“Jelas menunjukkan PKP separuh masak yang mengikut kehendak Miti ini adalah strategi salah,” katanya.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali sebelum ini memaklumkan 128,150 daripada 586,308 syarikat yang membuat permohonan dibenarkan beroperasi.

Bagaimanapun dia menegaskan Miti bukanlah pihak tunggal yang memberi kebenaran tersebut, sebaliknya sebanyak 15 kementerian yang terlibat.

Shahrir berkata lagi, dengan jangkaan PKP akan terus dilanjutkan, jutaan rakyat dijangka mengalami pemotongan gaji atau kehilangan pekerjaan.

Pada masa sama, katanya lagi, gesaan agar moratorium pinjaman automatik termasuk kepada golongan M40 masih tidak menjadi kenyataan.

"Kerajaan diharapkan mendengar rintihan dan denyut nadi rakyat agar tiada yang tersisih. Golongan M40, B40 dan PKS (perusahaan kecil dan sederhana) memerlukan bantuan daripada kerajaan,” katanya lagi.

Mei lalu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan sekatan penuh melalui tiga fasa untuk mengekang wabak Covid-19 yang semakin meningkat, yang bakal menyaksikan sekatan lebih longgar pada setiap fasa.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob mengumumkan sekatan pergerakan penuh dilanjutkan untuk dua minggu lagi setelah mengambil kira jumlah kes harian yang masih tinggi.

Lihat Komen