malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
ULASAN | Selepas 100 siri artikel #kerajaangagal Kit Siang…
ADS

Semasa saya memulakan siri kenyataan media #kerajaangagal pada hari Ahad, 18 April, saya tidak tahu berapa banyak kenyataan yang akan saya tulis.

Pun begitu, saya tidak berhadapan sebarang kesukaran untuk menulis kenyataan media #kerajaangagal ini, kadang-kadang sehingga dua atau tiga kenyataan sehari, menyentuh mengenai pentadbiran yang gagal dan kakistokratik, terutama dalam cara menangani wabak Covid-19.

Dalam masa kurang dari lapan minggu, saya menulis 100 kenyataan media #kerajaangagal, sehingga semalam.

Patutkah saya teruskan?

Saya akan menamatkan siri kenyataan media #kerajaangagal apabila parlimen bersidang semula.

Saya akan menamatkan siri ini selepas parlimen memainkan peranan semak dan imbang terhadap kuasa eksekutif bagi memastikan tadbir urus yang baik, efisien, efektif serta mengangkat kedaulatan undang-undang, sebagaimana yang dimaksudkan tokoh-tokoh awal negara dan seperti termaktub dalam perlembagaan.

Saya tidak dapat mencerna bagaimana akal yang cerdas boleh mengatakan bahawa kerajaan Muhyiddin Yassin telah melakukan yang terbaik dalam mengurangkan kesan wabak Covid-19.

PM ketika melawat tempat pemberian vaksin

Sesiapa yang mengikuti 100 kenyataan #kerajaangagal akan tentu menemui bukti yang melimpah ruah tentang kegagalan kerajaan Muhyiddin sejak 18 bulan lalu, tidak kira dalam kategori jumlah kumulatif atau jumlah kes Covid-19 per sejuta penduduk.

Itu juga menjadi sebab mengapa Malaysia turun 19 anak tangga dari tangga ke-16 pada Januari ke tangga ke-35 pada Mei dalam senarai Bloomberg Covid Resilience Ranking.

Dan nampaknya akan jatuh ke kedudukan yang lebih rendah pada bulan Jun 2021.

Jika kita rujuk data global Covid-19 semalam, terdapat penurunan sebanyak 52.1% kes harian di seluruh dunia.

Kes menurun dengan ketara di negara-negara yang sebelumnya dianggap mempunyai prestasi terburuk: Amerika Syarikat (turun 95.2%), England (89.1%), India (78%), Perancis (94.6%), Itali (95%) dan Sepanyol (86.5%).

Pun begitu, Malaysia dilihat menongkah trend dunia.

Kita telah diberikan amaran

Dalam 23 hari terakhir sejak 19 Mei, terdapat 20 hari kita merekodkan puncak peningkatan kes baharu melebihi puncak kes yang direkodkan pada 30 Januari (5,728 kes), sekali gus mewujudkan puncak baru dengan 9,020 kes pada 29 Mei.

Malaysia telah diberi amaran bahawa peningkatan kes baharu harian Covid-19 boleh mencecah sekitar 13,000 kes.

Setakat ini, 3,684 orang telah terkorban. Sebanyak 3,133 kematian dicatat dalam tempoh lima bulan darurat bermula 11 Januari berbanding 551 kematian dalam 12 bulan pertama sebelum darurat.

Berapa banyak kematian yang boleh dielakkan, lebih-lebih lagi melihat kepada penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) yang kini berada pada tahap kritikal?

Semalam, kita merekodkan 73 kematian. Jumlah ini lebih tinggi berbanding di United Kingdom dengan tujuh angka korban.

Proses suntikan vaksin di UK, gambar hiasan

Perlu diingatkan bahawa negara tersebut pernah mencatatkan angka korban seramai 1,823 orang pada 20 Januari.

Justeru itu, saya berasa amat terkejut apabila ada individu dengan minda yang cerdas tidak dapat melihat kegagalan teruk kerajaan hari ini dalam menguruskan penularan wabak Covid-19.

Tetapi saya bersetuju sepenuhnya bahawa tumpuan sekarang adalah untuk memulihkan negara menerusi usaha mempercepatkan program imunisasi.

Usaha ini memerlukan sokongan semua rakyat Malaysia dan parti politik bagi menjayakan agenda bersama ini.

Memanggil sidang parlimen adalah langkah pertama untuk memastikan Malaysia cepat pulih daripada Covid-19 dan menyelamatkan negara daripada terjerumus ke lembah kakistokrasi.

Saya memulakan siri kenyataan media #kerajaangagal dengan menyeru Menteri Kesihatan, Adham Baba, agar berhenti memainkan hujah semantik dan sebaliknya fokus terhadap kadar kenaikan harian.

Saya berharap ia turun ke julat dua angka. Jika tidak, beliau patut letak jawatan!

Namun nasihat saya ini tidak diendahkan, ibarat mencurah air ke daun keladi.

Adham berkata gelombang keempat tidak akan berlaku melainkan kes domestik dan jangkitan tempatan turun ke kadar sifar dalam gelombang ketiga semasa, sebelum meningkat mendadak pada hari berikutnya.

Lihat kembali prestasi Adham Baba

Saya berhujah bahawa Malaysia mungkin akan berhadapan dengan nasib yang lebih baik dan terlepas daripada gelombang kedua dan ketiga wabak (apatah lagi gelombang keempat) sekiranya Langkah Sheraton tidak menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan yang sah, berkebolehan dan demokratik pada hujung Februari 2020.

Sebagai meraikan siri kenyataan media #kerajaangagal yang ke-100, adalah molek untuk saya kembali melihat prestasi Adham Baba.

Pelantikan Adham Baba sebagai ahli lembaga pengarah Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan, sebaliknya menimbulkan banyak keraguan di kalangan rakyat Malaysia.

Adham baba

Ini ekoran kenyataan “air suam” yang dikeluarkannya sebelum ini.

Malah baru-baru ini, Kementerian Kesihatan menafikan berita yang memetik Adham Baba sebagai berkata perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh di seluruh negara mungkin dilanjutkan 14 hari lagi berikutan kes masih melebihi 5,000 - nilai ambang yang disasarkan (purata 4,000 kes ke bawah dalam tempoh tujuh hari) dengan menyifatkannya sebagai "palsu".

Adakah PKP3.0 disambung lagi selepas 14 Jun?

Patutkah saya teruskan?


LIM KIT SIANG ialah ahli parlimen DAP Iskandar Puteri.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen