malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Agong tanya bila sesuai PRU15, kata Dr M
Diterbitkan:  Jun 10, 2021 9:55 PM
Dikemaskini: 2:03 PM
ADS

Ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah siang tadi, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata baginda ada bertanya pandangannya mengenai tarikh sesuai negara mengadakan PRU15.

“Baginda ada bertanya sama ada pilihan raya boleh diadakan tahun depan atau bila-bila masa. Saya berkata ia berbahaya untuk diadakan sekarang.

"Seperti apa yang berlaku di Sabah ketika pilihan raya negeri...akan ada peningkatan kes Covid-19,” katanya pada sidang media dalam talian, lapor Bernama.

Jelas Dr Mahathir, negara perlu mencapai imuniti kelompok dalam pemberian vaksin Covid-19 sebelum PRU15 boleh diadakan.

"Apabila kita mencapai imuniti kelompok dengan 80 peratus rakyat diberi vaksin, maka agak selamat untuk mengadakan pilihan raya. 

"Jika tidak, apa yang berlaku di Sabah akan berulang,” kata pengerusi penaja parti Pejuang itu.

Pada pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong, Mahathir mencadangkan penubuhan sebuah badan khas seperti Majlis Gerakan Negara (Mageran) diwujudkan untuk menangani cabaran dihadapi Malaysia, meliputi krisis wabak Covid-19 dan kesannya terhadap ekonomi, ketidakstabilan politik dan sosial.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata menjadi hak Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil mana-mana pemimpin politik mengikut keperluan bagi mendapatkan pandangan berkaitan keadaan semasa negara.

"Itu hak Agong nak jumpa dengan sesiapa kalau perlu jumpa dengan semua, itu keputusan baginda. Sebab (alasan dipanggil menghadap) itu terpulang kepada Agong.

"Saya tak tahu sebab apa mungkin nak tahu kedudukan dan pandangan daripada pemimpin-pemimpin politik ini," katanya lagi.

Lihat Komen