BERITA

‘Bangun pagi tadi saya masih menteri besar’

Bernama

10 Jun 2021, 5:44 am

Dikemaskini 5 hari lepas

A
+
A
-

Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan isu pertukaran Menteri Besar Terengganu yang hangat diperkatakan bukan satu masalah besar dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat laporan berita yang dikatakan berunsur fitnah berhubung perkara itu.

“Saya rasa saya bangun pagi tadi saya masih lagi menteri besar walaupun ada gambar 10 orang jadi menteri besar yang bertukar setiap jam,” katanya secara berseloroh hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menziarahi keluarga Allahyarham Jusoh Muda, 83, yang meninggal dunia pagi tadi, selepas mengalami lecur pada badan dan kaki dalam kebakaran rumah di Kampung Losong Haji Su pada Isnin lepas.

Ahmad Samsuri turut mengingatkan mereka yang menyebarkan fitnah itu tentang balasan dosa berbuat demikian.

Selasa lepas, PAS Terengganu membuat laporan polis berhubung laporan sebuah portal berita yang mengulas tentang kedudukan Ahmad Samsuri sebagai menteri besar yang didakwa dalam situasi genting ketika ini.

Setiausaha Politik kepada Ahmad Samsuri, Muhyiddin Abdul Rashid berkata laporan yang disiarkan itu adalah fitnah dan berniat jahat untuk mencemar kredibiliti kepimpinan menteri besar berkenaan.

- Bernama

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Komen