BERITA

Inspektor polis ditahan, disyaki rogol tahanan wanita di IPD

Bernama

9 Jun 2021, 7:45 pagi

Dikemaskini 5 hari lepas

A
+
A
-

Seorang pegawai polis berpangkat inspektor ditahan dan sedang disiasat selepas didakwa merogol seorang tahanan wanita di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kelantan ACP Wan Khairuddin Wan Idris berkata pegawai cawangan narkotik berusia 29 tahun dan sudah berkahwin itu kini direman mulai hari ini hingga Sabtu ini.

Terdahulu, katanya, mangsa berstatus janda berusia 27 tahun dan mempunyai dua orang anak ditangkap bersama bekas suaminya di rumahnya ketika serbuan oleh pegawai dan anggota BSJN IPD Kota Bharu, Jumaat lalu.

Katanya susulan serbuan dan tangkapan itu, mangsa dan bekas suaminya telah direman di lokap Balai Polis Pengkalan Chepa selama tujuh hari sehingga Jumaat ini untuk membantu siasatan.

"Menurut mangsa, kejadian berlaku semasa dia dibawa keluar dari lokap oleh suspek dan dibawa ke bilik suspek di BSJN IPD Kota Bharu.

"Semasa berada di bilik tersebut, suspek menyatakan bahawa kesnya boleh selesai sekiranya mangsa menuruti kehendaknya dan memaksa mangsa melakukan seks oral dan persetubuhan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Wan Khairuddin berkata siasatan dilakukan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

- Bernama

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Komen