malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tajuddin dikompaun RM1,500 kerana tak pakai pelitup muka
Diterbitkan:  Jun 9, 2021 10:25 AM
Dikemaskini: 2:25 AM
ADS

Bekas Pengerusi Prasarana Malaysia Bhd, Tajuddin Abdul Rahman dikompaun sebanyak RM1,500 kerana tidak memakai pelitup muka ketika mengadakan sidang media pada bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata kompaun tersebutu dikenakan ke atas Tajuddin selepas didapati bersalah mengikut peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Untuk rekod pada 25 Mei lalu Tajuddin yang juga Pengarah Pilihan Raya Umno Malaysia mengadakan sidang media untuk menjelaskan keadaan mengenai kemalangan dua tren LRT berhampiran stesen KLCC, Kuala Lumpur.

Menurut Mohamad Zainal tawaran kompaun sebanyak RM1,500 akan dikeluarkan kepada Tajuddin dalam masa terdekat.

“Justeru, pihak Polis Diraja Malaysia menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dalam memerangi wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada sidang media bulan lalu berhubung kejadian insiden kemalangan tren LRT, Tajuddin hanya memakai pelindung muka tanpa pelitup separuh muka seperti yang ditetapkan pihak berkuasa.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini membuat laporan polis terhadap Tajuddin berhubung perkara itu.

Tajuddin kemudian dipanggil untuk memberi keterangan berhubung perkara itu di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur pada 27 Mei. 

Lihat Komen