malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'MB pi jengok kereta, bukan pi nak beli'
Diterbitkan:  Jun 6, 2021 11:25 AM
Dikemaskini: 3:25 AM
ADS

Dakwaan mengatakan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Noor melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan memandu uji kereta di sebuah pusat pameran kereta di Juru, Pulau Pinang, disangkal oleh setiausaha politiknya.

Afnan Hamimi Taib Azamuddin menjelaskan, Sanusi dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dan singgah di Juru untuk membeli bekalan makanan susulan kawasan rehat dan rawat (R&R) ditutup.

Jelasnya, kebetulan kedai tempat membeli makanan di Juru itu berdekatan dengan pusat pameran kereta dan ia tidak beroperasi.

"Ada seorang jurujual duk susun kereta Ford Ranger di luar show room. Menteri besar pi jengok kereta itu. Bukan pi nak beli. Saja nak pi tengok. Minat. Kalau pi hendap-hendap satgi orang tengok pelik pulak.

"Walaupun show room tutup, salesman tu bersopan, layan orang yang mai sambil-sambil duk alih kereta-kereta tu. Dia tahu waktu ini tak boleh berniaga. SOP PKP. Orang berniaga, macam tu la," katanya dalam satu hantaran di Facebook, malam tadi.

Terdahulu, seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Nini Siron mendakwa Sanusi berada di pusat jualan kereta dan memandu uji sebuah kenderaan di situ.

Dia juga mendakwa berlaku pelanggaran SOP termasuk menaiki kenderaan dengan tiga penumpang sekali gus melebihi had dibenarkan dalam tempoh sekatan pergerakan penuh (total lockdown) yang sedang berkuat kuasa.

Bagaimanapun hantaran itu kemudiannya dipadam selepas menjadi tular sekali gus mewujudkan pelbagai reaksi netizen.

Sebagai rekod pusat jualan kenderaan termasuk aktiviti pandu uji tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh pelaksanaan total lockdown ini.

Mengulas lanjut, Afnan Hamimi berkata, Sanusi dalam perjalanan ke Kuala Lumpur bersama seorang pemandu dan polis pengiring, manakala pergerakan rentas daerah atau negeri oleh wakil rakyat dibenarkan.

Menurutnya, selepas siap beli makanan, Sanusi meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.

"Ford Ranger itu duk ada kat Juru tu. Tak ikut pi sekali. Tiada test drive berlaku.

"Kereta Vellfire yang menteri besar naik itu memang Sada (Syarikat Air Darul Aman) punya. Menteri besar adalah pengerusi Sada. Tiada masalah untuk guna kereta itu bagi urusan rasmi.

"Tulisan perkataan 'Menteri Besar Kedah' pada kereta itu untuk memudahkan pengecaman pihak polis ketika melalui sekatan jalan raya," katanya. 

Sementara itu Bernama melaporkan polis akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Shafee Abd Samad berkata siasatan dilakukan menurut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

“Polis akan memanggil semua yang terlibat termasuk menteri besar,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Lihat Komen