malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hantaran 'pintu depan' Ismail undang sokongan, sindiran
Diterbitkan:  Jun 2, 2021 10:04 PM
Dikemaskini: 2:15 PM
ADS

Hantaran penuh teka-teki Ismail Sabri Yaakob mengenai “pintu depan” petang tadi mengundang ulasan ramai pihak, termasuk ahli politik.

“Saya dah tutup pintu depan tapi ....................” kata menteri kanan (kluster keselamatan) itu di Facebooknya, tanpa merujuk sesiapa atau menyebut mana-mana keadaan.

Ada yang seakan bersimpati dengan menteri pertahanan itu, namun ada juga yang menyindirnya.

Antaranya ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh yang menyuarakan kebimbangan akan masa depan negara apabila ia menunjukkan Ismail seperti tiada keyakinan atau kawalan untuk menjaga "pintu depannya" sendiri.

“Ini Menteri Pertahanan Malaysia. Kalau dia tak ada keyakinan/kawalan terhadap pintu depan sendiri, bayangkan nasib Malaysia.

“Masa ‘total lockdown’ pun masih ada masa untuk post macam ini sedangkan banyak lagi syarikat tak tahu bagaimana nak mohon kelulusan untuk terus bekerja. Kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini saya dah tak tahu macam mana nak komen,” ulasnya di Facebook.

Terdahulu, ramai warganet yang meninggalkan komen di hantaran Ismail menganggap ia sebagai tanda kekecewaannya terhadap banyak kilang yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh yang berkuat kuasa semalam.

Hanya 17 sektor yang dianggap perkhidmatan perlu dibenarkan beroperasi. Kilang juga tidak dibenarkan beroperasi, kecuali melibatkan perkhidmatan perlu dengan kapasiti yang dikurangkan.

Kilang atau perniagaan yang ingin beroperasi dalam tempoh 14 hari sekatan pergerakan penuh boleh mendapat pengecualian daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) diterajui Mohamed Azmin Ali dari Bersatu.

Ini mengundang kritikan banyak pihak yang mendakwa lebih banyak kilang wajar dihalang daripada beroperasi memandangkan data menunjukkan sektor perkilangan dan pembuatan menjadi penyumbang terbesar kes Covid-19 setakat ini.

Malah, terdapat rungutan di media sosial bahawa bahawa terdapat syarikat yang tidak pun memenuhi kriteria perkhidmatan penting namun tetap mendapat lampu hijau daripada Miti.

Dalam pada itu, ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Razlan Rafii, mentafsirkan hantaran Ismail sebagai “ada pihak lebih besar yang mengubah keputusan” dibuat.

Dia berkata sekatan pergerakan penuh wajar mengikut garis panduan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang tegas.

“Selagi perdana menteri terus berkurung di Seri Perdana dan tidak mahu berjumpa wartawan dan rakyat, keputusan-keputusan akan menjadi kelam kabut.

“Bersabarlah wahai menteri pertahanan, teruskan dengar suara rakyat," katanya dalam kenyataan.

Bekas timbalan menteri pertahanan pula membayangkan hantaran tersebut menggambarkan tiadanya kesepakatan antara menteri dalam pentadbiran PN.

"Ini bukan kes tak ada kumpulan Whatsapp. Ini macam dah left group," ciapnya di Twitter, sambil melampirkan tangkap layar hantaran Ismail.

 

Lihat Komen