malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Wakil rakyat PH terkejut kawasan Muhyiddin tak ada pusat vaksin
Diterbitkan:  Jun 2, 2021 6:40 PM
Dikemaskini: 10:51 AM
ADS

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin diingatkan agar jangan lalai dalam menjaga kepentingan vaksin untuk rakyat di kawasan parlimen dan DUN-nya di Johor.

Dalam satu kenyataan bersama, tiga wakil rakyat PH berkata, penduduk di kawasan diwakili Muhyiddin - di Parlimen Pagoh dan DUN Gambir - terpaksa membuat perjalanan jauh jika mahu mendapatkan vaksin kerana tiada pusat pemberian vaksin (PPV) di situ.

“Kami amat terkejut dengan berita di mana kawasan yang diwakili PM Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menghadapi masalah ketiadaan PPV,” menurut kenyataan bersama Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim, Adun Pekan Nanas, Yeo Tung Siong dan Adun Skudai, Tan Hong Pin.

Kata mereka, Pekan Bukit Gambir (dalam DUN Gambir) mempunyai kira-kira 40,000 penduduk dengan pelbagai kemudahan termasuk empat klinik kerajaan dan beberapa klinik desa, tetapi penduk terpaksa ke Tangkak yang sejauh 25km untuk menerima vaksin.

Keadaan seumpama itu kata mereka turut dihadapi penduduk Pagoh yang dipegang Muhyiddin sejak 1995 dan mempunyai 80,000 penduduk itu, sedangkan kata mereka, kedua-dua kawasan berkenaan agak teruk dilanda Covid-19.

“Peningkatan mendadak kes Covid-19 telah mendorong semua untuk mendaftarkan diri untuk vaksin tetapi kebanyakan masih menunggu dalam kegusaran”.

Situasi dihadapi penduduk di dua kawasan perdana menteri itu, kata mereka, turut dihadapi di pekan-pekan kecil dan kawasan luar bandar lain di Johor.

Jelas mereka, 1.5 juta daripada 3.6 juta rakyat Johor sudah mendaftar untuk mendapatkan vaksin setakat 31 Mei, namun bilangan PPV rasmi hanya 26 buah, dan mungkin kini mencecah 35 buah jika mengambil kira PPV baru yang dikatakan dibuka di hospital swasta baru-baru ini.

“Ini bermakna untuk setiap satu PPV bilangan penduduk yang ditampung adalah secara purata 50,000 orang (bersamaan 100,000 dos vaksin) di Johor. Angka nisbah yang amat teruk berbanding dengan negeri lain.,” kata mereka.

Oleh itu, mereka menggesa bilangan PPV ditambah sehingga 100 buah di seluruh Johor untuk meningkatkan kadar vaksinasi, dengan kerajaan boleh memanfaatkan 99 klinik kesihatan, selain belasan hospital kerajaan dan ratusan klinik desa di kawasan luar bandar.

Gesaan sama pernah dibuat Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching untuk vaksin AstraZeneca lebih seminggu lalu.

Penduduk luar bandar, terutamanya warga emas, kata mereka, mempunyai masalah pengangkutan yang mengekang mereka untuk pergi ke PPV, di kala anak dan cucu golongan tua itu mungkin tidak dapat pulang kerana perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Ia amat mendukacitakan apabila ada warga emas yang tertinggal vaksinasi kerana PPV yang terdekat begitu jauh untuk mereka. Belum lagi berkisah tentang sistem temujanji melalui aplikasi MySejahtera yang agak rumit untuk orang tua,” kata mereka.

Sementelahan, kata mereka, di dalam kabinet Muhyiddin sendiri, ada tujuh menteri - yang juga ahli parlimen - dari Johor: Menteri Kesihatan Adham Baba (Tenggara), Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi), Wee Ka Siong (Ayer Hitam), Noraini Ahmad (Parit Sulong), Abdul Latiff Ahmad (Mersing) dan Hishammuddin Hussein (Sembrong).

“Nama-nama besar belaka. Cuma kawasan-kawasan yang diwakili mereka seperti Ayer Hitam, Parit Sulong dan Sembrong langsung tiada PPV. Kenapa pula begitu?

“Kami memanggil PM Muhyiddin Yassin dan menteri-menteri berkenaan agar tidak lalai dengan tanggungjawab mereka terhadap Johor. Nasib penduduk luar bandar harus dipeduli. Sediakan lebih banyak PPV di seluruh pelusuk negeri.

“Vaksin melindungi nyawa kita. Dan nyawa orang kampung di Bukit Gambir, Pagoh, Ayer Hitam, Yong Peng, Parit Sulong, Sembrong, Kahang, Paloh, Benut, Pekan Nanas, Kukup, Rengit dan lain-lain tempat harus dijaga dan dilindungi sama seperti nyawa orang bandar,” kata mereka lagi. 

Lihat Komen