malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mufti Kelantan saran 2 langkah atasi isu gagal hadir temu janji suntikan
ADS

Mufti Kelantan, Mohamad Shukri Mohamad mencadangkan kerajaan menyediakan khidmat suntikan vaksin dari rumah ke rumah khusus untuk golongan warga emas yang tidak berupaya.

Katanya, alternatif lain dan pendekatan yang sewajarnya harus diberi perhatian oleh kerajaan untuk memudahkan golongan terbabit untuk menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Pihak berwajib harus cari alternatif dan pendekatan yang lebih memudahkan kepada warga emas ini.

“Contohnya seperti yang dilakukan di Turki, pihak yang merawat itu berkunjung dari rumah ke rumah. Jadi, untuk warga emas di sini, bolehlah buat pendekatan yang sedemikian," katanya.

Bercakap kepada Malaysiakini semalam Mohamad Shukri berkata ketika ini kerajaan memiliki semua data dan alamat golongan warga emas yang tidak berupaya.

"Biarlah agak songsang (berbeza), ubat mencari penyakit... biasanya penyakit mencari ubat, tapi ini perlu demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Mohamad Shukri mengulas mengenai langkah strategik perlu diambil kerajaan bagi menangani isu kegagalan ramai penduduk Kelantan hadir menepati temu janji suntikan vaksin Covid-19.

Pada 24 Mei lalu Malaysiakini melaporkan hampir 10,000 penduduk di Kelantan khususnya golongan warga emas (berusia 60 tahun ke atas) gagal menghadirkan diri untuk menerima vaksin. 

Beri kemudahan kepada rakyat

Kata Mohamad Shukri satu lagi pendekatan yang boleh diambil kerajaan ialah menyediakan pengangkutan khas bagi warga emas kerana ada antara mereka mempunyai masalah untuk datang ke pusat pemberian vaksin (PPV).

“Semasa saya di PPV, saya nampak warga emas itu semuanya berteman seperti oleh anak dan cucu.

"Kalau anak tidak ada, kena bekerja, jadi ini menimbulkan kesusahan... dari segi pengangkutan.

“Jadi kalau boleh, pihak yang berwajib sediakanlah pengangkutan khas untuk golongan ini," katanya lagi.

Tambah Mohamad Shukri perkhidmatan menyediakan pengangkutan percuma bukanlah sesuatu yang asing kerana ia pernah disediakan semasa pilihan raya.

Ketika itu katanya parti politik tampil menawarkan kenderaan untuk mengangkut pengundi ke pusat mengundi.

Gambar fail

"Kalau untuk vaksin, kenapa kita tidak boleh sediakan kenderaan percuma untuk mengambil warga emas ini? Ini boleh diusahakan dengan langkah berkesan yang patut difikirkan bersama.

“Saya rasa pihak-pihak yang bertanggungjawab ini tentu ada pemikir-pemikirnya untuk memberi kemudahan kepada rakyat yang tidak berupaya ini,” jelasnya.

Sementara itu Mohamad Shukri juga mengakui ada pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan maklumat palsu kononnya suntikan vaksin Covid-19 adalah konspirasi pihak tertentu sehingga mencetuskan ketakutan kepada orang ramai.

Namun katanya ia adalah tidak benar.

“Vaksin bukan satu propaganda. Vaksin ni sudah kita terima pakai sejak tahun 1796 lagi. Maknanya lebih 300 tahun dulu.

"Negara kita juga sudah memberi vaksin kepada rakyatnya sejak sekian lama, sekitar 1960-an lagi, misalnya untuk penyakit tibi.

“Jadi, kenapa buat spekulasi seperti itu apabila dikaitkan dengan Covid-19?

"Islam sendiri mengajar untuk berusaha jika berada dalam masalah seperti Covid-19 ini, vaksin merupakan salah satu usaha kita,” katanya.

Lihat Komen