malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Apa yang susah sangat kerajaan nak bantu rakyat?'
Diterbitkan:  May 25, 2021 4:46 PM
Dikemaskini: 8:46 AM
ADS

Pengakuan kerajaan bahawa sebanyak RM78 bilion wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikeluarkan mereka melalui program i-Sinar dan i-Lestari baru-baru ini menunjukkan rakyat sangat terdesak sekarang.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim justeru berkata dalam keadaan getir sebegitu sepatutnya kerajaan bertindak dengan lebih lagi untuk membantu rakyat.

Katanya antara langkah bantuan asas yang boleh diambil kerajaan untuk meringankan beban oran ramai ialah mengarahkan moratorium sekali lagi seperti yang pernah dilakukan semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) kali pertama tahun lalu.

Setakat ini katanya gesaan demi gesaan pembangkang kepada kerajaan agar pelaksanaan moratorium automatik selama enam bulan masih tidak diendahkan Putrajaya.

"Kerajaan pernah melaporkan bahawa moratorium automatik selama enam bulan menyebabkan kerugian RM6.4 bilion kepada sektor perbankan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pun begitu, kata Sim, di sebalik pelaksanaan moratorium automatik tersebut, data yang ada menunjukkan 10 bank utama dalam negara ini tetap mencatat keuntungan sebanyak RM22 bilion.

"Jika rakyat Malaysia begitu terdesak sehingga terpaksa mengeluarkan RM78 bilion wang simpanan hari tua mereka, mengapa kerajaan tidak sanggup untuk mengarahkan sektor perbankan - yang untung berpuluh-puluh bilion ringgit itu - membelanjakan RM6.4 bilion demi meringankan beban hidup rakyat?" katanya.

Kegagalan mengekang penularan wabak Covid-19 dan peningkatan mendadak kes baru setiap hari memaksa kerajaan menguatkuasakan PKP 3.0 sehingga 7 Jun ini.

Dahulukan kepentingan tauke

Walaupun PKP 3.0 diperketatkan lagi baru-baru ini ia tidaklah sedrastik PKP 1.0 apabila orang ramai tidak dibenarkan keluar dari rumah masing-masing kecuali untuk keperluan yang sangat mendesak.

Pada ketika itu kerajaan memberikan moratorium pinjaman secara automatik yang membolehkan orang ramai menangguhkan pembayaran mereka selama enam bulan.

Pelaksanaan PKP sesudah itu tidak lagi memberikan moratorium secara automatik.

Sim berkata sebenarnya hidup rakyat terganggu sejak Mac 2020 lagi kesan daripada kegagalan kerajaan menguruskan pandemik Covid-19 termasuk strategi PKP yang bercelaru dan tanpa berpandukan maklumat sains dan data, serta pelaksanaan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) yang bercelaru.

Katanya situasi itu membuktikan rakyat sudah amat terdesak lebih-lebih lagi apabila kurangnya bantuan kerajaan sehingga mereka terpaksa menggunakan wang yang sepatutnya disimpan untuk hari tua.

"Keengganan kerajaan mengarahkan pelaksanaan moratorium secara automatik jelas membuktikan bahawa Putrajaya lebih mendahulukan kepentingan tauke bank berbanding rakyat dan sektor perniagaan kecil dan sederhana negara.

"Apa yang susah sangat untuk sektor ini mengorbankan RM6.4 bilion demi membantu rakyat yang sedang terhimpit oleh ekonomi ini?" katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen