malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PM: Salahkan kerajaan atau nak kata bodoh pun tak apalah, tapi...
Diterbitkan:  May 23, 2021 10:56 PM
Dikemaskini: 3:20 PM
ADS

Meskipun telah melakukan pelbagai usaha untuk meningkatkan kemudahan kesihatan bagi menangani Covid-19, negara tidak mampu melakukannya secara drastik.

Kerana itulah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin merayu agar rakyat dapat menjaga diri sendiri dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang disarankan.

Rayuan itu dibuat Muhyiddin walaupun dia tahu menjadi sasaran kemarahan orang ramai.

Kata Muhyiddin, ketika berdepan dengan pelbagai masalah seperti kapasiti katil hospital dan katil unit rawatan rapi (ICU) yang tidak mencukupi, kerajaan melakukan pelbagai langkah bagi menguruskannya.

Antaranya menggunakan hospital swasta dan turut menggunakan khidmat sukarelawan bagi menampung kekurangan petugas kesihatan.

“Tapi tambah berpuluh ribu katil pun tidak akan bermakna (jika rakyat tidak menjaga diri).

"Kalau naik kepada 20,000 (kes), setakat manalah kita mampu? Kita tak boleh buat begitu, negara maju pun tak terbuat macam itu.

“China terpaksa buat hospital dalam empat ke lima hari, tapi kita tak boleh buat (begitu).

"Jadi kita terpaksa minta tolong rakyat, bantu diri sendiri. Jagalah kita. Kita nak jaga diri kita supaya kita tak sakit, atau terkorban kerana kelekaan kita.

“Bolehlah nak salahkan kerajaan, marah perdana menteri pun tak apalah, saya terimalah. Rakyat kata: 'Apa bodoh perdana menteri', tak apa...," katanya.

Jamin tak berat sebelah

Ahli parlimen Pagoh itu menjelaskan dia tahu macam mana susahnya menguruskan hal itu namun ia merupakan tanggungjawab bersama.

Katanya pendekatan yang diambil bukan kaedah seluruh kerajaan (whole of government), tetapi seluruh masyarakat (whole of society).

“Seluruh masyarakat mesti berganding bahu, barulah boleh kita landaikan lekuk jangkitan Covid-19,” katanya dalam Bicara Khas mengenai Cabaran Pandemik Covid-19 yang disiarkan secara langsung di RTM dan Bernama TV malam ini.

Katanya, demi memastikan urusan menangani Covid-19 berjalan lancar, dia memberi arahan agar apa sahaja permintaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) haruslah ditunaikan, termasuk keperluan kakitangan dan kelengkapan.

“Apa diperlukan pihak KKM ini saya arahkan, dia minta apa saja pun, saya bagi," katanya.

Selain aspek penjagaan kesihatan, Muhyiddin turut ditanya mengenai penguatkuasaan SOP yang didakwa sesetengah pihak sebagai berat sebelah dengan hukuman dua darjat ke atas kumpulan masyarakat yang berbeza.

Jawab Muhyiddin, kerajaan tidak akan mampu mengerahkan penguat kuasa yang cukup untuk memantau pematuhan SOP ke atas lebih 30 juta rakyat Malaysia.

Memberikan jaminan bahawa tidak ada berat sebelah dalam penguatkuasaan, namun Muhyiddin mengakui mungkin ada pihak yang akan terlepas kerana faktor tidak cukup petugas yang memantau dan mengambil tindakan.

“Dari segi dasar, kita tak ada berat sebelah. Tak kira siapa, menteri ke, perdana menteri ke, siapa langgar dan memang ada bukti, mereka takkan terlepas daripada dikenakan hukuman, kompaun dan sebagainya. Itu fakta.

“Tapi zahirnya manusia melihat kenapa dia tak kena tangkap? Kita SOP ni ada 30 juta rakyat Malaysia, semua kena SOP.

"Saya nak tanya balik, saya boleh jaga ke 30 juta ni? Awak punya makan tidur, jalan pergi mana.

“... Kalau ada yang terlanggar sikit, takkan saya (pasti) boleh jaga dia? Kalau di situ tak ada penguat kuasa... takkan saya nak letak sampai 100,000 penguatkuasa untuk jaga 30 juta? Tak mungkin boleh," katanya.

Sebab itulah kata Muhyiddin kawalan kendiri dianggap sangat penting agar rakyat tak berdepan hukuman.

Tegasnya juga, pertukaran SOP berlaku disebabkan situasi semasa Covid-19 yang berubah-ubah, dan hal itu juga mungkin menimbulkan kekeliruan sesetengah pihak.

Isu dua darjat dan berat sebelah dalam penguatkuasaan SOP sebelum ini memang banyak diperkatakan, namun semakin hangat pada musim Hari Raya Puasa baru-baru ini apabila rakyat diingatkan agar tidak berziarah dengan pihak berkuasa akan melakukan pemantauan ketat.

Sedangkan beberapa selebriti dan ada juga ahli politik didapati memuat naik gambar berhimpun beramai-ramai di media sosial mereka, bertentangan dengan SOP yang tidak mengizinkan ziarah pada hari raya.

Ini termasuklah artis popular merangkap usahawan, Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya Muhammad Haris Mohd Ismail, yang sekali lagi menjadi subjek perdebatan warganet apabila sebelum ini telah beberapa kali disiasat melanggar SOP, sehingga didakwa di mahkamah.

Kelantan turut mencuri perhatian bulan lalu apabila tiga peniaga kecil dikenakan kompaun RM50,000 kerana melanggar SOP Covid-19 sebelum kompaun ketiga-tiga mereka dikurangkan ke RM2,000 sahaja.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen