malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Culas patuh SOP di surau persendirian punca Kg Pauh Lima kena PKPD
ADS

Solat berjemaah sambil mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) penjarakan sosial menjadi punca wabak Covid-19 menular dengan meluas di Kampung Pauh Lima, Bachok Kelantan.

Mengesahkan perkara itu Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Dr Zaini Hussin berkata siasatan mendapati penduduk di kampung terbabit baru-baru ini mengejarkan solat tarawih dan solat fardu tanpa mematuhi SOP.

Misalnya kata Zaini seramai 20 hingga 40 jemaah bersolat serentak dan tanpa melakukan penjarakan fizikal.

Selain itu jelasnya siasatan turut mendapati surau milik persendirian berkenaan turut tidak dilengkapi dengan mesin pengimbas suhu atau buku rekod jemaah.

"Kita kena faham virus ini boleh merebak disebabkan tiada penjarakan fizikal ketika aktiviti berkumpulan dilakukan terutama di kawasan yang terhad," katanya ketika hadir meninjau kawasan petempatan itu hari ini.

Terdahulu media melaporkan wujudnya pelaksanaan solat dengan puluhan jemaah melakukan ibadah tanpa mengikut nasihat yang disarankan pihak berkuasa di situ.

Untuk mengelak perbuatan itu diketahui mereka dikatakan sanggup memadamkan lampu dan menyorokkan selipar agar kelibat jemaah tidak kelihatan kepada orang lain.

Shafien (tengah) melawat pos kawalan di Kampung Pauh Lima hari ini

Dengan tercetusnya penularan wabak tersebut kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di situ mulai hari ini sehingga 1 Jun depan.

Sementara itu Ketua Polis Kelantan DCP Shafien Mamat yang turut hadir ke lokasi berkata setakat ini pihaknya belum menerima laporan berkaitan pelanggaran SOP di surau tersebut.

"Setakat ini kita hanya mendengar laporan di media sosial dan tiada gambar yang membuktikan pelanggaran SOP di surau berkenaan.

"Justeru polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dilakukan," katanya.

Pun begitu Shafien mengakui polis dimaklumkan akan ada individu yang membuat aduan kepada polis pada petang ini.

"Sebaik saja laporan itu diterima kami akan segera menyiasat," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen