malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Polis siasat dakwaan Azmin langgar SOP Aidilfitri
Diterbitkan:  May 15, 2021 10:16 AM
Dikemaskini: 4:43 AM
ADS

NOTA EDITOR: Artikel ini telah dikemas kini bagi mencerminkan versi kenyataan media polis Putrajaya yang terbaru.

Polis sedang menyiasat dakwaan yang mengatakan bahawa Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali dan keluarganya melanggar prosedur operasi piawai (SOP) Aidilfitri di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Putrjaya, Mohd Fadzil Ali berkata, siasatan dibuay mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 17, Akta Pencegahan dan Kawalan Peraturan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Kawasan Tempatan yang Dijangkiti) 2021.

Sekiranya sabit kesalahan, Seksyen 269 membawa hukuman penjara sehingga enam bulan, denda atau kedua-duanya.

"Siasatan awal pihak polis mendapati kejadian berlaku pada 13 Mei 2021, pada waktu pagi, di kediaman rasmi Mohamed Azmin di Putrajaya.

"Siasatan juga mendapati gambar tersebut diambil semasa ahli keluarga Mohamed Azmin berkumpul dan mengadakan sidang video secara bersemuka (video conferencing) di kalangan ahli keluarga terdekat Mohamed Azmin sahaja.

"Keterangan saksi yang merupakan petugas yang mengawal di Pos Kawalan kediaman tersebut mengesahkan pada hari kejadian tidak ada pergerakan keluar dan masuk daripada mana-mana tetamu luar seperti dakwaan pengguna Facebook tersebut," kata Mohd Fadzil.

Tambahnya, polis akan merakam kenyataan saksi untuk membantu siasatan sebelum merujuk perkara itu ke pejabat pendakwa raya

Dia juga menggesa pengguna media sosial untuk berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan atau komen yang boleh menjatuhkan imej, kredibiliti dan maruah seseorang ataupun jabatan.

Mohd Fadzil mengeluarkan dua kenyataan mengenai isu ini hari ini.

Kenyataan awal yang ditarik balik, mengatakan bahawa laporan polis dibuat mengenai kenyataan Facebook adik Mohamed Azmin, Ummi Hafilda, yang mengadu tentang perkara itu.

Kenyataan yang dikemas kini sama sekali tidak menyebut tentang Ummi Hafilda, yang sebelum itu disebut dua kali dalam kenyataan awal.

Kenyataan sebelumnya juga mendakwa bahawa siasatan awal menunjukkan bahawa ia hanya melibatkan "ahli keluarga ... yang mendiami kediaman tersebut".

Kenyataan terbaru tidak menyentuh hal seumpamanya.

Pada 13 Mei, Mohamed Azmin telah memuat naik gambar yang memaparkan dia dan keluarganya membuat panggilan video beramai-ramai. Gambar itu turut memaparkan Mohamed Azmin dengan cucunya.

Susulan itu, pengguna media sosial mengecam Mohamed Azmin, dengan antara lain menuduhnya menerima kunjungan pengunjung yang kemungkinan harus rentas daerah.

Peraturan di bawah PKP menetapkan bahawa ziarah Aidilfitri dan ziarah ke kubur dilarang.

 

Lihat Komen