malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MB S'gor: Bukan perkampungan Orang Asli, hanya pos sementara
Diterbitkan:  May 15, 2021 9:57 AM
Dikemaskini: 1:57 AM
ADS

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menafikan laporan berita yang mendakwa bahawa Orang Asli suku Mah Meri di Bagan Lalang diusir dari perkampungan mereka oleh syarikat milik kerajaan negeri, Permodalan Negeri Selangor Bhd (PNSB).

Dalam ciapan balas pengguna media sosial yang menyorot dakwaan itu, Amirudin berkata kawasan yang dimaksudkan itu bukan perkampungan tanah Orang Asli seperti didakwa.

"Tanah yang disebut bukannya perkampungan Orang Asli Mah Meri seperti yang didakwa tetapi hanyalah pos sementara untuk memudahkan pekerja Orang Asli yang berulang alik dari kampung asal mereka ke tempat kerja di Bagan Lalang," katanya.

Malah, jelas Amiruddin, komuniti Orang Asli di kawasan itu bersetuju untuk mengosongkan tanah berkenaan dan telah menulis surat untuk memohon pelanjutan tempoh pengosongan.

Amirudin turut menjelaskan bahawa notis pengosongan yang diberi sebelum ini memberi tempoh 30 hari dan boleh dipanjangkan lagi sekiranya perlu.

"PNSB mengikut segala prosedur perundangan bagi menuntut tanah milik mereka tapi pada masa yang sama tetap berunding dengan komuniti Mah Meri untuk pastikan nasib mereka terbela," katanya.

Semalam, pengguna media sosial menyatakan solidariti terhadap komuniti Mah Meri di Bagan Lalang yang dilapor diusir PNSB untuk memberi laluan kepada projek tarikan pelancong.

Sebagai respons, Amirudin secara aktif membalas kritikan itu.

 

Dalam ciapan balas terhadap penyanyi Yuna yang turut menyorot isu itu, Amirudin menegaskan bahawa tajuk berita mengenai laporan itu tidak tepat.

"Walaupun kerajaan negeri menghormati hak untuk memberi pendapat dan kebebasan media, tajuk utama artikel itu tidak benar. Kerajaan negeri telah berhubung dengan masyarakat Mah Meri.

"Notis sewajarnya, pertimbangan yang adil dan idea pembangunan yang berperikemanusiaan akan diberi keutamaan," katanya, sambil melampirkan kenyataan PNSB mengenai perkara itu.

PNSB sebelum ini menjelaskan bahawa mereka telah berhubung dengan komuniti Orang Asil berkenaan pada November 2020 dan pada 12 April tahun ini sebelum notis pengusiran dikeluarkan pada 20 April.

PSNB juga memaklumkan bahawa mereka terbuka untuk membincangkan permintaan Orang Asli Mah Meri untuk diberikan lebih banyak masa bagi mengosongkan tanah berkenaan.

Lihat Komen