malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
K'jaan digesa hulur bantuan tunai, moratorium pinjaman 3 bulan
Diterbitkan:  May 11, 2021 9:17 AM
Dikemaskini: 1:18 AM
ADS

Ketika rakyat Malaysia bersiap sedia untuk menjalani sekatan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara, kerajaan digesa supaya segera menghulurkan bantuan tunai dan mengarahkan bank serta institusi kewangan memberikan moratorium automatik pinjaman selama tiga bulan.

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) berkata kerajaan harus mempercepat pengagihan bantuan tunai yang ada, serta bantuan lain yang diumumkan, termasuk 150,000 komputer riba percuma untuk membantu proses pembelajaran para pelajar di rumah.

Presiden PKPIM Ahmad Farhan Rosli berkata kerajaan juga wajar memotong gaji menteri dan ahli parlimen sebanyak 50 peratus.

Ini, katanya untuk meraih pendapatan tambahan agar dapat disalurkan sebagai bantuan atau menyegerakan program vaksinasi nasional.

Kerajaan juga dicadangkan untuk "menyediakan pampasan buat peniaga kecil dan terjejas atas pengumuman PKP pada saat akhir" menjelang sambutan Aidilfitri oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Presiden PKPIM Ahmad Farhan Rosli.

"Kurangkan kenyataan yang menambah duka rakyat. Marilah kita bersatu padu memutuskan rantaian Covid-19.

"Ketika ini, kami memohon tiada lagi kata-kata. Yang diperlukan ketika ini ialah aksi dan pengurusan terbaik daripada para pemegang taruh suara rakyat," kata Ahmad Farhan pada satu kenyataan.

Sementara itu, pemimpin DAP, Zairil Khir Johari juga mendesak pelaksanaan moratorium pinjaman automatik selama tiga bulan, selain bentuk sokongan lain termasuk bantuan tunai.

Penolong setiausaha publisiti nasional DAP itu berkata, langkah berkenaan diperlukan untuk mengurangkan beban ekonomi yang pasti mengancam masyarakat.

"Memandangkan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) yang menggajikan hampir separuh tenaga kerja Malaysia, moratorium pinjaman akan memberi kesan langsung kepada sektor ekonomi yang penting ini.

"Pemilik perniagaan dapat meningkatkan aliran tunai mereka manakala pekerja akan bersemangat dengan peningkatan jaminan pekerjaan," kata exco Pulau Pinang itu pad satu kenyataan hari ini.

"Dengan kadar pengangguran belia mencatat tahap tertinggi yang membimbangkan dengan 13.9 peratus pada awal tahun ini dan pengangguran pada umumnya melambung sekitar 4.8 peratus, moratorium pinjaman pasti akan membantu menyelamatkan banyak pekerjaan.

"Lebih penting lagi, moratorium pinjaman seperti yang dilaksanakan tahun lalu akan memberikan kelegaan segera kepada berjuta-juta peminjam selain melincirkan ekonomi dengan sedikit kecairan yang sangat diperlukan," kata Zairil lagi.

Dia juga mendakwa bahawa walaupun enam pakej rangsangan utama berjumlah RM340 bilion diumumkan pada tahun lalu, kesannya tidak dapat dirasai oleh kebanyakan rakyat biasa yang masih kekurangan wang.

Oleh yang demikian, katanya, kerajaan harus mempertimbangkan memberikan bantuan tunai bulanan sebanyak RM1,000 untuk B40 dan RM500 untuk M40 selama tiga bulan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin malam tadi mengumumkan seluruh negara akan diletakkan bawah PKP bagi mengekang Covid-19 dari 12 Mei hingga 7 Jun.

Keputusan itu, walaupun telah dijangka disebabkan oleh kes Covid-19 yang meningkat, namun mendapat reaksi balas kerana Muhyiddin sebelum ini telah menyatakan pada 18 Mac semasa ucapan Pemerkasa bahawa PKP menyeluruh mungkin tidak akan dikenakan lagi.

Lihat Komen